Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan lelaki curi duit tabung kuil Hindu

Seorang lelaki ditahan ketika sedang mencuri duit dari tabung sebuah kuil di Jalan Lintang Ayer Itam, di George Town awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu disedari beberapa orang awam yang cuba menahan suspek.

"Ekoran pergelutan, suspek yang berusia 39 tahun dan tidak mempunyai
pekerjaan tetap itu berjaya ditahan dan mengalami luka di kepala dan tangan," katanya di George Town hari ini.

Mior Faridalatrash berkata siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan suspek sewaktu kejadian berkenaan dipercayai baru sahaja dicuri di sebuah rumah pangsa di Jalan Penawar, Jelutong di George Town.

"Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang digunakan lelaki itu, polis
menemui satu lagi tabung berisi duit syiling dan wang kertas kira-kira RM150 yang dipercayai dicuri dari sebuah gereja yang berdekatan dengan kuil tersebut," katanya.

Beliau berkata suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS