Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedutaan AS pilih diplomasi dalam isu 'bunuh Melayu'
Diterbitkan:  Aug 9, 2016 4:29 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Amerika Syarikat perlu menyediakan asas yang kukuh untuk menangani isu-isu membimbangkan, kata seorang jurucakap kedutaan republik itu di negara ini.

Enggan diheret dalam perang mulut dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, kedutaan Amerika menawarkan tindak balas diplomatik kepada tuduhan bahawa kuasa besar itu mahu 'membunuh' orang Melayu.

Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, seorang jurucakap kedutaan itu berkata, rakyat Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan kukuh yang dibina dengan sikap saling mempercayai demi kepentingan ekonomi dan keselamatan bersama.

"Pelaburan dalam hubungan jangka panjang antara negara kita menyediakan asas yang lebih kukuh untuk kita juga menangani isu-isu yang membimbangkan," katanya.

Bagaimanapun, jurucakap itu enggan mengulas mengenai tuduhan bahawa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) melakukan fitnah berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB.

"Kami rujuk anda kepada DOJ untuk sebarang pertanyaan mengenai kes ini," katanya apabila ditanya mengenai perkara itu.

Jurucakap itu diminta mengulas ucapan Idris yang mendakwa bahawa tindakan Amerika Syarikat adalah helah politik untuk menjatuhkan orang Melayu seperti apa dilakukan terhadap rakyat Iraq.

Dalam ucapannya, Idris mempersoalkan kredibiliti DOJ dengan merujuk pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003 serta dakwaan bahawa presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

"Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh pula orang Melayu di Malaysia," katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang baru-baru ini.

DOJ bulan lalu memfailkan saman sivil bagi merampas aset bernilai AS$1.5 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada dana 1MDB.

Lihat Komen
ADS