Setiausaha Akhbar Perdana Menteri - Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad - memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Permohonan itu difailkan semalam di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan diserahkan kepada peguam Mukhriz hari ini.

Dalam permohonannya, Tengku Sarifuddin berkata tuntutan saman itu adalah melampau dan tidak membawa sebarang kausa tindakan yang munasabah serta remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Ooi She Yi yang mewakili Tengku Sarifuddin berkata permohonan itu akan didengar pada 11 Oktober depan.

Saman fitnah adalah berkaitan dengan empat kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tengku Sarifuddin antara 15 dan 16 April lalu.

Kenyataan berkenaan merujuk bahawa Mukhriz berkonspirasi degan bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.

Mukhriz mendakwa kenyataan itu mencadangkan bahawa beliau akan diberikan jawatan perdana menteri sebaik sahaja Muhyiddin berundur selepas menggantikan Najib.

Bekas menteri besar itu mendakwa empat kenyataan Tengku Sariffuddin memberi gambaran seolah-olah beliau seorang yang gila kuasa, hanya mempunyai motif untuk menjadi perdana menteri tanpa sebarang pertimbangan terhadap kepentingan rakyat.

Menurut Mukhriz, kenyataan itu juga seolah-olah menggambarkan bahawa beliau mengamalkan politik kotor, bertindak mengikut telunjuk bapanya dan seorang yang tidak memiliki prinsip dan tidak bermoral.

Sehubungan itu, Mukhriz menuntut gantirugi am, gantirugi teladan dan gantirugi berterusan yang akan dinilai oleh mahkamah.

Beliau juga memohon injunksi bagi menyekat Tengku Sarifuddin daripada mengeluarkan sebarang kenyataan media yang sama.

[Baca berita penuh]