Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Finas akur buka anugerah filem terbaik FFM pada semua
Diterbitkan:  Aug 11, 2016 5:53 AM
Dikemaskini: 10:00 PM

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akur dengan keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia
membuka penyertaan Anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) kepada semua penggiat industri itu.

Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman berkata susulan itu, Finas akan mengadakan mesyuarat anggota lembaga pengarahnya hari ini bagi membincangkan secara lanjut mengenai perkara itu.

"Kita akur... esok (hari ini) board meeting berjumpa bagi melihat langkah seterusnya termasuk sebarang perubahan yang mungkin perlu dilakukan," katanya kepada Bernama selepas mengambil bahagian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama malam tadi.

Kamil berkata keputusan kementerian itu juga tidak membawa perubahan besar dalam proses penjurian bagi Anugerah Filem Terbaik FFM ke-28 yang akan diadakan di KLCC pada 1 hingga 3 September depan.

"Kita akan mencari mekanisme terbaik dalam memilih 10 filem (lima dalam Bahasa Malaysia dan lima dalam bukan dalam Bahasa Malaysia) untuk memilih satu yang terbaik," katanya.

Bagi Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan yang baru diwujudkan, beliau berkata pihaknya akan melihat filem yang benar-benar memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam karya mereka.

"Kita akan bincang untuk naikkan syarat penggunaan Bahasa Kebangsaan kepada 80 peratus berbanding 70 peratus sekarang (untuk kategori itu)," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berhubung isu pemisahan kategori filem yang dipertandingkan dalam FFM yang mendapat reaksi pelbagai pihak.

Dalam kenyataan itu, Salleh turut mengumumkan pewujudan kategori baru Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pada festival anjuran Finas itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS