Justo dijangka habiskan hukuman di Switzerland
Warga Switzerland Andre Xavier Justo, yang dipenjara di Thailand kerana cuba memeras majikannya, memilih untuk menjalani hukuman selebihnya di negara asal.
Memetik sumber yang mengetahui rundingan pemindahan itu, Bangkok Post melaporkan dia memilih dipindahkan ke negara asal jika kerajaannya membuat permohonan itu.
Jika memilih parol, beliau akan tetap tinggal di Thailand dan harus melaporkan kegiatannya kepada pihak berkuasa setiap bulan sehingga Jun tahun depan, kata seorang peguam.
Viktor Vavricka, kuasa usaha di Kedutaan Switzerland di Thailand berkata, Justo sedang mendapatkan bantuan kedutaan tetapi enggan mengulas lanjut kerana isu privasi.
“Pihak berkuasa Switzerland mengesahkan terdapat permohonan untuk pemindahan telah diserah kepada Switzerland bawah perjanjian dua hala Thailand-Switzerland berhubung pemindahan banduan,” menurut laporan itu.
Pegawai bank itu didakwa menjual maklumat majikannya PetroSaudi yang berpangkalan di Switzerland kepada media, yang menyebabkan pembongkaran dakwaan skandal 1MDB.
Beliau semalam mendapat pengampunan diraja Thailand sempena ulang tahun ke-70 Raja Bhumibol Adulyadej menduduki takhta dan kelahiran Permaisuri Sirikit.
Dengan pengampunan itu, beliau dilaporkan layak mendapat parol di Thailand bagi menghabiskan hukuman penjara setahun lagi, selepas berkelakuan baik dalam penjara.
Justo juga dikehendaki oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) susulan sitaan terhadap lebih AS$1 bilion (RM4.04 bilion) dana yang dikaitkan dengan 1MDB.
Pemindahan Justo, tidak akan menguntungkan usaha AS membanteras kegiatan penipuan antarabangsa, kata sumber lagi.

