‘Bantuan terbatas bagi agama bukan Islam di Malaysia’
Masyarakat bukan Islam dan mereka yang tafsiran Islamnya berbeza dengan negara mengalami kesukaran mengamalkan ajaran agama masing-masing di Malaysia, kata Laporan Kebebasan Beragama Antarabangsa, Jabatan Negara, Amerika Syarikat 2015.
Menurut laporan itu, cara pemikiran Islam bukan Sunni dianggap sesat, dengan pengikutnya terdedah dengan tindakan kerajaan.
Ia juga melaporkan terdapat bantuan kewangan negeri yang banyak untuk Islam Sunni, tetapi perkara yang sama tidak tidak boleh dikatakan untuk agama lain.
"Beberapa badan kerajaan termasuk jabatan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ditugaskan untuk menggalakkan keharmonian agama dan melindungi hak-hak kumpulan agama minoriti, tetapi kebanyakan pertubuhan keagamaan berkata mereka percaya tidak ada yang menikmati kuasa dan pengaruh seperti bahagian hal ehwal Islam yang dikawal selia," petik laporan itu.
Sebagai contoh, kata laporan berkenaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima RM819 juta pada tahun 2015 untuk pelbagai "projek-projek berkaitan pendidikan Islam dan masjid."
Bagaimanapun, tiada peruntukan khusus dibuat dalam bajet kerajaan untuk kumpulan agama bukan Islam, lapornya.
Ia berkata, kumpulan bukan Islam melaporkan sentiasa menghadapi kesukaran dalam mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk membina tempat beribadat.
Ini mendorong mereka untuk bersembahyang di ruang komersial.
Walaupun, sebahagian besarnya bertolak-ansur, kata laporan berkenaan, kumpulan minoriti sentiasa merasakan mereka terancam dengan sekurang-kurangnya sebuah gereja di lot kedai komersial di Selangor diisytiharkan tidak sah oleh majlis tempatan.
Kerajaan Selangor mengisytiharkan bahawa tiada tindakan akan diambil, tetapi gereja berkenaan secara teknikal masih beroperasi secara tidak sah dan terdedah dengan tindakan kerajaan negeri, katanya.
Laporan Jabatan Negara Amerika itu juga menyatakan masyarakat bukan Islam juga sering kehilangan hak penjagaan anak apabila berlaku perebutan oleh ibu bapa bukan Islam dan bekas pasangan mereka yang telah memeluk Islam.
"Apabila berdepan dengan perintah bercanggah oleh mahkamah sivil dan syariah mengenai hak jagaan, (kumpulan sivil dan pemimpin agama bukan Islam) berkata polis biasanya berpihak kepada syariah," petik laporan itu lagi.

