Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan isteri-isteri pemimpin di negara ini agar bijak menyaring maklumat di media sosial serta tahu membezakan mana yang benar dan palsu.
Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) itu juga memberitahu para isteri agar tidak terlalu memikirkan komen negatif mahupun fitnah yang dilemparkan pembangkang.
"Saya berharap puan-puan sekalian bukan sahaja pandai menyaring maklumat di dalam media sosial tetapi haruslah bijak dalam membezakan mana yang benar, palsu, fitnah dan juga cerita yang diada-adakan.
"Dalam usaha kita berkhidmat pada masyarakat, saya berpandangan bahawa kita tidak perlu ambil kira atau terlalu memikirkan komen negatif mahupun fitnah yang dilemparkan khususnya dari parti pembangkang di media sosial," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutupan Kursus Peningkatan Ilmu dan Keterampilan Diri BAKTI di ibu negara hari ini.
Selain itu, Rosmah berkata, pembangkang sentiasa tidak bersetuju dengan usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
Justeru, sekiranya para isteri pemimpin percaya dengan fitnah yang dicanang di media sosial, ia akan memberi kemenangan kepada pembangkang, katanya.
"Sudah nama pun pembangkang, jadi mereka akan sentiasa membangkang kepada apa jua usaha kita. Pembangkang tidak akan bersetuju jauh sekali memuji usaha-usaha kita walaupun ia baik dan mendatangkan manfaat kepada masyarakat.
"Sekiranya kita percaya dengan fitnah serta dakyah yang dicanang di media sosial, maka ia akan memberi kemenangan kepada mereka yang gembira melihat kita menari mengikut rentak gendang mereka.
"Biarlah kita selaku kerajaan yang memerintah yang menentukan rentak yang dipalu," katanya lagi.
Sehubungan itu, Rosmah meminta agar isteri-isteri pemimpin dapat membantu suami mereka dengan mendekati masyarakat setempat dan menabur bakti.
