29 pekerja warga asing ditahan di taman tema
Seramai 29 warga asing termasuk enam wanita ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIPP) di sebuah taman tema di Teluk Bahang, dekat George Town hari ini.
Timbalan Penolong Pengarah JIPP Fairuz Ismail berkata bertindak hasil aduan orang ramai dan risikan, pihaknya menjalankan pemeriksaan di taman tema itu pada pukul 11 pagi dan seramai 52 pekerja warga asing dari pelbagai negara diperiksa.
"Dalam operasi hari ini, kami menahan 29 warga asing kerana pelbagai
kesalahan antaranya tiada dokumen perjalanan diri, tiada permit kerja, menyalah guna pas lawatan sosial dan tidak bekerja mengikut sektor yang sepatutnya.
Ada pekerja asing yang sepatutnya bekerja di sektor pencucian berdasarkan permit yang terdapat pada mereka tetapi bekerja di sektor lain di situ, perkara itu adalah salah kerana melanggar syarat permit yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya dalam operasi itu, pihaknya turut mengesan tujuh warga asing yang ditahan bekerja di taman tema berkenaan telah melarikan diri daripada majikan asal berdasarkan permit bekerja yang terdapat pada mereka.
Fairuz berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki Bangladesh, Nepal (tujuh lelaki), Filipina (lima wanita dan dua lelaki), dan masing-masing seorang lelaki Brazil, Myanmar dan India serta seorang wanita Indonesia.
Pihaknya juga akan memanggil majikan semua pekerja asing itu bagi membantu siasatan, katanya.
Beliau berkata semua mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun itu dibawa balik ke pejabat JIPP di Seberang Jaya untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Fairuz berkata dalam operasi berasingan di sebuah hotel di Seberang Jaya, semalam pihaknya menahan 21 warga asing termasuk tujuh wanita yang bekerja di situ.
"Hasil pemeriksaan kami menahan 10 lelaki India dan empat lelaki serta tujuh wanita warga Indonesia berusia 20 hingga 38 tahun kerana tiada dokumen perjalanan diri dan tiada permit kerja," katanya.
- Bernama

