Ketua Umno bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman hari ini mendesak Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi untuk menjawab dakwaan salah guna kuasanya.

Abdul Razak mendakwa Jeff Ooi kononnya mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) agar tidak meluluskan permohonan tukar syarat kegunaan bangunan dari pejabat ke hotel.

Ini kerana, ujarnya, pemilik Maritim Waterfront Hotel adalah seorang ahli Umno.

"Sekiranya dakwaan ini benar, maka ia jelas membuktikan DAP memang mengamalkan diskriminasi sehingga menghalang rakyat untuk mencari rezeki.

"Kepimpinan BN yang ditunjangi Umno selama ini tidak pernah memilih bulu tetapi kepimpinan DAP memang jelas tiada ketelusan.

"Ia bukan sekadar isu ini malah para peniaga kecil Melayu juga sering menjadi mangsa ketidak adilan DAP," katanya, memetik laporan Umno Online.

Pada tahun lalu, bendera DAP dibakar di perkarangan bangunan Komtar yang menempatkan pejabat kerajaan negeri Pulau Pinang.

Insiden itu berlaku apabila kira-kira 50 ahli dan penyokong Umno yang diketuai Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir pergi ke sana untuk menyerahkan memorandum kepada MBPP.

Protes itu adalah sebagai tindak balas terhadap keputusan majlis tempatan itu merobohkan struktur logo Umno di Menara Umno Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, DAP sering mengatakan mereka telus dan jika benar mengamalkan ketelusan, maka Jeff Ooi perlu memberi penjelasan terhadap dakwaan ini.

"Adakah hanya kerana pemilik hotel berkenaan ahli Umno maka dia tidak layak untuk mencari makan di negeri ini.

"Adakah hanya orang DAP yang boleh berniaga di negeri ini," tanya beliau.