ULASAN Bagi umat Islam, soal hukum halal haram sememangnya dijadikan panduan yang sangat penting dalam hal kehidupan harian terutama mencari nafkah untuk makan minum seisi keluarga dan mengumpul dana menjelang hari tua.

Menyedari kehendak golongan tersebut, tumbuh bagaikan cendawan produk kewangan takaful yang cuba memikat umat Islam untuk membeli insurans dan membuat pelaburan yang patuh syariah demi memastikan pulangan yang diterima bebas daripada unsur-unsur haram mahupun meragukan.

Justeru, ketika Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pengenalan skim simpanan syariahnya, puluhan ribu termasuk yang bukan Islam menerpa pejabat agensi tersebut di seluruh negara sejak 8 Oktober yang lalu untuk menukar skim simpanan konvensional kepada syariah.

Bagi mereka yang belum berbuat demikian, peluang untuk menukar skim itu masih terbuka luas sehingga peruntukan dana RM100 bilion habis, berdasarkan konsep 'siapa cepat, dia dapat' atau sehingga tarikh tutup permohonan pada 23 Disember ini.

Diberitakan, ekoran sambutan memberangsangkan terhadap skim simpanan syariah itu, KWSP bercadang untuk menambah peruntukan dana antara RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun selepas ini.

Rasional cadangan pertambahan tersebut ialah sebahagian besar daripada para pencarumnya yang mencecah 14,550,355 orang dengan 6,794,604 merupakan ahli aktif setakat 31 Disember lalu, akan menukar kepada skim simpanan syariah itu.

Demi menghalalkan simpanan yang akan digunakan oleh sebahagian besar pencarum untuk kegunaan di hari tua kelak, terutama menampung kos perubatan, maka ramai yang memilih untuk tidak mencampurkan dana tersebut dengan punca-punca pendapatan yang mendatangkan keraguan, apatah lagi haram.

Simpanan syariah

Jika pencarum memilih simpanan syariah, Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) telah memutuskan pertukaran kepada Simpanan Syariah dikecualikan daripada penyucian dividen.

Menurut laman web KWSP, muzakarah khas jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan bagi hal ehwal ugama Islam Malaysia yang telah diadakan pada 18 Ogos 2015 memutuskan KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke Simpanan Syariah.

"Bagaimanapun, sekiranya ada ahli yang ingin melakukan penyucian dividen secara individu, ahli boleh melakukannya dengan merujuk kepada garis panduan penyucian dividen yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS)," kata laman web itu lagi.

Ramai di kalangan pencarum juga bertekad untuk menukar kepada skim simpanan syariah ini walaupun KWSP telah menegaskan bahawa kadar dividen adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh syariah dan tiada jaminan kadar dividen minimum.

Berbanding dengan skim simpanan konvensional, semua caruman kepada skim sedia ada itu akan dibayar dividen dan dijamin oleh kerajaan pada kadar minima 2.5 peratus.

Dividen bagi akaun para pencarum dikira berdasarkan baki harian agregat.

KWSP membayar dividen pada kadar 6.4 peratus dengan jumlah bayaran dividen keseluruhan sebanyak RM38.24 bilion bagi tahun 2015, kurang sedikit berbanding kadar dividen 6.75 peratus pada 2014, yang tertinggi sejak 1999.

Jika dipuratakan selama 16 tahun mulai tahun 2000 hingga 2015, KWSP membayar dividen pada kadar 5.5 peratus setahun.

'Elak sumber haram'

Selain mengelak punca pendapatan dari sumber haram kepada pencarum beragama Islam, pengenalan skim simpanan syariah ini juga berjaya memartabatkan lagi nama Malaysia di persada sistem kewangan global sebagai peneraju kewangan Islam.

Ini kerana aspek pematuhan syariah dalam skim simpanan yang diperkenalkan KWSP itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia, demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebelum ini juga, Malaysia sering menjadi model atau rujukan khususnya dari kalangan negara Islam lain dalam memperkenalkan sistem takaful, instrumen sukuk, sistem kewangan dan perbankan Islam.

Sekiranya berjaya kelak terutama dalam pemberian peratusan kadar dividen lebih tinggi ekoran lebih banyak pelaburan menguntungkan dalam perniagaan berlandaskan syariah, pastinya sistem ini akan 'ditiru' oleh banyak negara dan Malaysia pastinya tidak keberatan untuk berkongsi mengembangkan ilmu ini.

Namun, apa yang lebih penting, panel pelaburan dan JKPS haruslah berganding tenaga dalam memastikan skim simpanan syariah terus dilihat berbaloi untuk disertai kerana tiada 'jalan pulang' jika skim tersebut berdepan polemik atau masalah di masa akan datang.

Ini kerana, KWSP telah menetapkan ahli atau pencarum yang telah menukar skim tidak boleh untuk kembali kepada skim simpanan konvensional selepas tarikh ia berkuat kuasa.

Pasti ramai di kalangan pencarum tidak mahu kemelut yang pernah melanda kepada skim pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional (ASB/ASN) kelolaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berulang.

Masakan tidak mengelirukan apabila muzakarah jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan bagi hal ehwal ugama Islam Malaysia kali ke-80 yang bersidang pada 1 hingga 3 Februari 2008 memutuskan skim ASB dan ASN serta dividen atau bonus yang diterima pelabur adalah harus hukumnya.

Lebih kurang tiga tahun selepas itu, para pelabur beragama Islam dikejutkan dengan tindakan Jabatan Mufti Selangor yang mengeluarkan fatwa oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011 dengan memutuskan ASN dan ASB tidak halal kerana bertentangan dengan hukum syarak.

Kekeliruan ini, selain merencatkan sedikit sebanyak suasana pelaburan yang dikendalikan oleh agensi terbabit, akan turut menghakis kepercayaan ahli-ahlinya dalam menentukan haja tuju dan pendekatan pelaburan yang mahu dilakukan di masa depan.