Dr M dialu-alu berucap di BERSIH 5, tapi ada syaratnya
WAWANCARA Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dialu-alukan untuk berucap di perhimpunan BERSIH 5, kata Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah. Tetapi ada syaratnya.
Maria berkata demikian ketika ditanya sama ada BERSIH 2.0 akan mengubah pendirian mereka untuk membenarkan Mahathir berucap di perhimpunan mereka, memandangkan beliau kini jelas menyokong pembaharuan institusi.
"Pendirian kita tetap sama. Dan barang siapa yang berucap di pentas kita perlu bersetuju mengenai pembaharuan institusi dan pilihanraya yang bersih dan adil," kata Maria dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini di pejabatnya di Petaling Jaya,
"Jadi, sudah tentu, jika anda bersetuju, maka anda boleh menyertai kami. Lakukan apa sahaja yang anda boleh untuk menyokong kami. Ini sentiasa menjadi pendirian kami, "katanya.
Mahathir bersetuju untuk menggabungkan tuntutan masyarakat sivil untuk pembaharuan institusi sebagai sebahagian daripada dokumen Deklarasi Rakyat, yang digubal untuk menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pada perhimpunan BERSIH 4 di Kuala Lumpur tahun lepas, Mahathir membuat kejutan apabila muncul pada hari kedua perhimpunan tiga hari itu dan memberi ucapan ringkas kepada orang ramai dan menggalakkan mereka meneruskan protes.
Beliau juga muncul pada hari terakhir, tetapi dibawa untuk sidang akhbar di sebuah restoran berhampiran Pasar Seni - yang tidak jauh dari tempat utama perhimpunan itu.
BERSIH 4, perhimpunan terbesar seumpamanya di Malaysia setakat ini, - yang dianjurkan sebagai reaksi kepada kritikan terhadap dakwaan skandal 1MDB dan untuk menggesa penyingkiran Najib - disokong oleh Mahathir dan kemudian timbalan presiden Umno ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lebih setahun telah berlalu dan BERSIH 2.0 kini sedang bersiap sedia untuk mengadakan BERSIH 5.
Kali ini, kata Maria, Mahathir dan Muhyiddin akan secara rasmi dibenarkan untuk berucap - selagi mereka menyokong tuntutan teras BERSIH 2.0. Ini kerana pembangkang juga mempunyai peluang untuk berucap di perhimpunan yang lalu.
"Tetapi ia hendaklah mengenai pembaharuan institusi, pilihan raya yang bersih dan adil dan tekanan supaya tiada campur tangan dalam pilihan raya," katanya.

