Peremba Constructions Sdn Bhd, kontraktor utama projek tebatan banjir di Taman Wahyu, dekat Jinjang, mendakwa pihaknya tidak membenarkan subkontraktor menggunakan `lori hantu' dan jalan pintas untuk mengangkut pasir keluar dari tapak projek tersebut.

Pengurus projek. Loong Seow Phang berkata, jika subkontraktor yang dilantik menjalankan kerja-kerja mengangkut pasir tersebut menggunakan `lori hantu', perkhidmatan mereka akan dihentikan serta merta.

"Tidak ada jalan pintas ke tapak projek di Taman Wahyu melainkan melalui Jalan Sibu 18, maka laluan itu sahaja yang pihak subkontraktor untuk mengangkut pasir keluar dari tiga kolam besar yang sedang dikorek," katanya.

Peremba Contructions, menurutnya, sebagai sebuah syarikat pemaju yang berwibawa dan mempunyai rekod kerja yang disegani, tidak membenarkan sama sekali penggunaan `lori hantu' untuk sebarang projek yang dimajukan oleh syarikat itu.

"Syarikat subkontraktor yang mengangkut pasir di Taman Wahyu tidak menggunakan `lori hantu'. Bagaimanapun, kami akan membuat siasatan tentang aduan penduduk tersebut," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini hari ini.

Peremba Constructions diberi tanggungjawab membina projek tempatan banjir berhampiran tempat pelupusan sampah Alam Flora di Taman Wahyu bagi kawasan utara Kuala Lumpur. Kontraktor tersebut sedang giat menggali tiga kolam besar di Taman Wahyu untuk membina tebatan banjir bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2007.

Taman Wahyu yang terletak di Batu Enam Jalan Ipoh menghala ke Selayang mempunyai 400 rumah dengan hampir 2,500 penduduk dan penghuni PPR pula ialah 2,000 orang.

Keselamatan terancam

Loong berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan penduduk Taman Wahyu yang merungut berikutan keselamatan mereka terancam kerana subkontraktor yang dilantik oleh Peremba Contructions menggunakan lori hantu untuk mengangkut pasir keluar dari tapak projek tersebut.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Taman Wahyu, Yap Poh Peng berkata, kehadiran `lori hantu' itu menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk kerana ia dipandu laju dan membahayakan kepada orang tua dan kanak-kanak.

Penduduk Taman Wahyu katanya tidak boleh tidur kerana kerja-kerja mengangkut pasir dibuat dari awal pagi hingga malam, selain rumah mereka dikotori debu pasir yang jatuh dari lori pengangkut pasir tersebut.

"Kerja-kerja mengangkut pasir tersebut juga menyebabkan berlaku kesesakan di Jalan Sibu 18 iaitu laluan utama ke tapak projek dan ini menimbulkan kesukaran kepada penduduk Taman Wahyu keluar masuk ke jalan besar," katanya lagi.

Bagaimanapun, Loong berkata, kesesakan di Jalan Sibu 18 bukan disebabkan oleh kerja mengangkut pasir tersebut, sebaliknya terdapat tiga bengkel membaiki kenderaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, jalan di situ juga sibuk kerana adanya sebuah sekolah menengah dan beberapa blok rumah pangsa projek perumahan rakyat (PPR) berhampiran Taman Wahyu.

Katanya, Peremba Constructions mengangkut keluar pasir dari tapak projek tebatan banjir dan membayar royalti kepada pihak kerajaan.

Sementara itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menghantar pegawai penguatkuasa untuk memantau projek pemindahan pasir dari tapak pembinaan tebatan banjir di Taman Wahyu.

DBKL mendapat maklumat

Jurucakapnya berkata, DBKL sudah mendapat maklumat daripada penduduk perumahan Taman Wahyu tentang kegiatan mengangkut pasir menggunakan `lori hantu' keluar dari tapak tebatan banjir itu.

Bagaimanapun, katanya, penduduk Taman Wahyu perlu perlu memaklukan secara rasmi kegiatan `lori hantu' tersebut kepada DBKL.

"Kontraktor utama iaitu Peremba Constructions Sdn Bhd sedang mengorek tiga kolam besar untuk membina takungan air bagi tebatan banjir kawasan utara Kuala Lumpur. Mereka dibenarkan untuk mengeluarkan pasir dari kawasan tersebut ke tempat lain," katanya.

Projek tebatan banjir itu terletak berhampiran dengan tempat pelupusan sampah yang diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jurucakap DBKL menambah, projek tebatan banjir perlu disiapkan mengikut jadual iaitu menjelang 2007 bagi menghalang banjir di kawasan utara Kuala Lumpur.

Katanya, DBKL akan menutup pusat pelupusan sampah di Taman Wahyu akan dipindahkan ke Bukit Tagar, Kuala Selangor selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pusat pelupusan sampah tidak sesuai lagi di kawasan penempatan penduduk dan ia perlu dipindahkan ke Bukit Tagar yang lebih besar dan selamat, katanya.

Beliau berkata, DBKL juga sudah mengeluarkan notis perpindahan kepada setinggan Kampung Delima, pemilik kilang kecil yang beroperasi secara haram dan penanam sayur sebelum akhir Jun ini.

"Jika mereka berdegil tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. Notis amaran sudah beberapa kali dikeluarkan kepada mereka iaitu sejak awal tahun lalu," katanya.