Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS hari ini mengumumkan kerjasama politik parti itu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) kini dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Mengumumkan perkara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu dipersetujui bersama antara kedua-dua parti dalam mesyuarat bersama pada 2 Ogos lalu bertempat di ibu pejabat PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"Persefahaman politik ini menjadi satu gagasan baharu kepada lanskap politik negara yang menawarkan suatu pilihan yang lebih mantap kepada rakyat dengan menekankan kepada sebuah budaya berpolitik yang membawa kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya.

"Justeru rakyat tidak perlu terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya telah terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu blok Umno-BN.

"Satu lagi jalur politik menekankan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat," kata Abdul Hadi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, sebentar tadi.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan pimpinan kanan PAS yang lain.

Kira-kira lima bulan yang lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan pembentukan "blok baru pembangkang" dengan mengadakan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Pembentukan blok itu, katanya, telah "membuka ruang ke arah pembinaan kumpulan persefahaman" yang lebih tersusun.

"Pendekatan ini juga menuntut kami supaya bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit," katanya.

Di atas prinsip itulah, kata Takiyuddin, maka pada hari ini "bermulalah satu kerjasama politik di antara PAS dan IKATAN.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, pendekatan Gagasan Sejahtera akan membawa budaya politik matang dan sejahtera.

"Kita akan memperjuangkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok...menyokong kebaikan berasaskan kebenaran, bukan berasaskan pembinaan persepsi semata-mata.

"Politik damai dan diplomasi serta politik berasaskan penyelesian bukan politik berasaskan permasalahan di mana objektif Gagasan Sejahtera adalah membawa penyelesian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat," katanya.

Oleh itu ujarnya, pendekatan budaya politik matang dan sejahtera ini memberi pilihan kepada rakyat yang telah bosan dengan budaya politik melampau sedia ada yang membawa kepada permusuhan dan ketidak stabilan sosial dan ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya masih menunggu jemputan daripada Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH), Maria Chin Abdullah bagi menyertai perhimpunan BERSIH 5.

"Kita tunggu jemputan," kata beliau.

Bagaimanapun, mengulas lanjut, bekas pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata, parti itu belum berbincang mengenai perkara itu, buat masa ini.

"Kita tak bincang lagi, BERSIH pun belum tentu jadi lagi," kata Tuan Ibrahim lagi.

Lihat Komen
ADS