Kejayaan DAP mempertahankan empat kubu kuatnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kesidang dan Kota Laksamana mencerminkan sokongan pengundi serta kedudukan signifikan parti itu di kawasan berkenaan.

Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata keputusan di tiga kerusi baharu yang ditandingi DAP, iaitu Gadek, Pengkalan Batu dan Duyong turut menunjukkan calon parti itu berjaya mengekalkan deposit masing-masing, termasuk di kerusi yang sebelum ini diramal akan mengalami kekalahan teruk.

“Kepada para pengundi yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kami, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih. Setiap undi yang diberikan menjadi sumber kekuatan dan dorongan untuk kami terus berjuang,” katanya pada sidang media di Pejabat DAP, di sini malam ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka itu turut memberikan jaminan bahawa DAP Melaka akan melipatgandakan usaha untuk memainkan peranan semak dan imbang, sama ada di dalam mahupun di luar DUN.

"​Kami akan terus berkhidmat kepada rakyat, menyuarakan suara mereka, serta memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat. Kami komited untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh pengundi dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan tersebut," katanya.

Mengenai keputusan PRN Melaka yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya di kerusi yang ditandingi rakan parti komponen, Khoo tidak menafikan ia antaranya berpunca daripada sentimen kaum dan agama yang dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan PRN itu juga satu mesej jelas daripada pengundi kepada DAP dan PH untuk memperbaiki segala kelemahan bagi mengembalikan sokongan rakyat pada masa hadapan.

Khoo yang juga Timbalan Pengerusi PH Melaka berkata gabungan itu akan mengadakan sesi “post-mortem” (pascanilai) yang mendalam dan terbuka bersama semua parti komponen bagi mengenal pasti segala kelemahan serta mengambil langkah penambahbaikan.

"Kami akur PH secara keseluruhannya tidak memperoleh keputusan seperti yang diharapkan. Justeru, tanggungjawab dan cabaran yang menanti kami selepas ini pastilah lebih besar, dan walau apa pun keputusannya, kami menghormati dan menerima dengan penuh rendah hati keputusan rakyat Melaka," katanya.

Khoo berkata hubungan antara DAP dengan dua lagi parti komponen PH, iaitu PKR dan Amanah adalah erat dan akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Yang turut hadir pada sidang media itu ialah empat calon DAP yang berjaya mempertahankan kerusi mereka, iaitu Low Chee Leong (Kota Laksamana), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh) dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir).

Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

- Bernama