Krisis MB, BERSATU tak beri kesan pada AGM Jerlun
Krisis menteri besar Kedah pada bulan Januari dan pelancaran parti serpihan Umno - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - nampaknya tidak memberi kesan terhadap mesyuarat perwakilan Umno bahagian Jerlun di Kubang Pasu hari ini.
Walaupun suasana dilihat sedikit dingin sepertimana cuaca di luar, tidak sepertimana sebelum ini ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi MB merangkap ketua bahagian itu, mesyuarat berjalan lancar selama dua jam pada waktu pagi tanpa sebarang masalah.
Persidangan perwakilan kemudiannya diadakan pada sebelah petang, tetapi ia tertutup kepada orang ramai.
Tiada ada protes dari 167 perwakilan atau 200 pemerhati yang memenuhi dewan di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di Jitra.
Bekas penyokong kuat Mukhriz, ADUN Kota Seputih Abu Hassan Sarif dan Ketua Wanita Umno Kedah Datuk Maznah Hamid, duduk di sebelah Menteri Besar Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah.
Sejak Jun, Abu Hassan telah dilantik sebagai pemangku ketua bahagian Jerlun, menggantikan Mukhriz yang telah disingkir pada bulan Februari. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Othman Aziz.
Bercakap kepada media selepas majlis tersebut, Ahmad Bashah berkata kesemua 167 orang perwakilan hadir hari ini.
Maznah, yang duduk di sebelah kiri Ahmad Bashah, mencelah, "sama juga dengan Wanita".
Bagaimanapun, Ahmad Bashah enggan mengulas banyak mengenai pendaftaran parti BERSATU, yang didokong oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalan perdana menteri yang dipecat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, parti itu belum didaftarkan dan hanya selepas didaftar baru ia akan mencari ahli.
Sehingga itu, katanya, tidak boleh menuduh orang lain menyokong parti itu, walaupun mereka mungkin menyokong individu di dalamnya.
Perlembagaan Umno, katanya, jelas menyatakan ahli-ahli tidak boleh mempunyai dua keahlian, atau mereka akan secara automatik dipecat.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pertandingan banyak penjuru dalam PRU14 kerana penambahan parti BERSATU dan Parti Amanah Negara, Ahmad Bashah menjawab Umno sentiasa bersedia tidak kira berapa banyak penjuru pertandingannya.

