Najib kongsi kisah 2 jenis jabat tangan, setia atau musuh
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkongsi kisah dua kisah berjabat tangan, pertama mengenai kesetiaan dan satu lagi permusuhan .
Perdana menteri itu berkata, jenis yang pertama berlaku ketika beliau tiba untuk mesyuarat Umno bahagian Kota Tinggi, hari ini.
"Ada seorang perwakilan wanita pegang tangan saya, dia kucup tangan saya, bukan sekali tetapi dua kali," katanya disambut sorakan oleh lebih 1,000 perwakilan yang hadir.
"Tapi yang saya pasti orang rumah tidak cemburu kerana ini lambang manifesti dari lubuk hati yang ikhlas bahawa saudara saudiri bukan semata-mata sokong saya, Najib, tetapi sokong presiden Umno," ujar beliau.
Sebaliknya, tambah beliau, dengan usaha berjabat tangan yang beliau hulurkan bagi menamatkan perbalahan dalaman parti yang telah ditolak pada perhimpunan agung tahunan Umno tahun lalu.
"Saya hulur tangan kedamaian, saya hulur tangan perpaduan, tetapi tidak disambut malangnya.
"Jadilah peristiwa dimana pemimpin-pemimpin yang dahulu pilih jalan lain, mungkin haluan itu tersasar, mungkin jalan itu tidak kena, masa akan beri jawapan.
"Jalan itu adalah jalan yang bertentangan dgn wadah parti Umno," katanya lagi.
Ini merujuk kepada kejadian tahun lalu ketika Najib menawarkan untuk berdamai dengan bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berjabat tangan dengannya pada perhimpunan itu tetapi sejak itu, meninggalkannya untuk membentuk gerakan baru dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Parti itu menyasarkan untuk menentang BN yang diterajui Najib pada pilihan raya umum akan datang.
Semalam, Muhyiddin menyindir dengan berkata, Umno tidak harus berasa takut dengan BERSATU yang disifatkan hanya sebuah 'parti nyamuk' yang belumpun secara rasmi ditubuhkan.
"Ya, parti kita begitu umum, Umno tidak perlu takut parti ini. Ia seperti sebuah parti nyamuk, belum terbentukpun," kata bekas timbalan perdana menteri itu.
"Sayapun tidak mempunyai ahli lagi, kita belum ada cawangan dan bahagian seperti mereka (Umno), kita tidak mempunyai juta ahli, kita tidak mempunyai wang. Jadi mereka tidak perlu begitu bimbang mengenai parti ini," katanya.
"Adakah ini bermakna Umno merasakan kelahiran parti baru sebagai ancaman sebenar, mereka kata ia serpihan, serpihan tidak akan bertahan, jadi mengapa bimbang?," tanya beliau.
Muhyiddin, bagaimanapun, menasihatkan para pengkritiknya agar tidak terlalu banyak mengkritik parti itu.
"Ia adalah hak untuk mengkritik, ini adalah demokrasi. Rakyat mempunyai hak untuk mengatakan apa yang mereka mahu katakan.

