Datuk Seri Najib Razak dipercayai mampu memimpin Malaysia menjadi salah sebuah negara terbaik di dunia, kata bekas mufti 23 tahun Jordan.

Bagaimanapun, perdana menteri mesti sentiasa mematuhi ajaran al-Quran dan sunah, kata Prof Dr Amin Mohammad Sallam Al-Manasyeh lagi, lapor Malaysia Gazette.

"Saya berpendapat jika Allah memberi beliau (Najib) masa, beliau akan terus memajukan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terbaik di dunia.

“Itu yang saya fikir tentang beliau," beliau dipetik sebagai berkata dalam pertemuan dengan Malaysia Gazette baru-baru ini.

Dr Amin pernah dilantik sebagai mufti di Philadelphia dan New York di Amerika Syarikat.

Beliau juga merupakan Ketua Lujnah Pembanterasan Fahaman Syiah Jordan, mantan imam talaqqi Masjid Nabawi dan profesor di Universiti Mu'tah dan Universiti Jordan.

Dr Amin yang memiliki tiga doktor falsafah dan tiga ijazah sarjana merupakan pakar al-Quran dan hadis.

Beliau yang berada selama enam hari di Malaysia sempat bertemu buat kali pertama dengan perdana menteri berkata, Najib seorang mukmin.

Katanya, pada pertemuan itu, Najib dan beliau sempat berbincang pelbagai isu selain turut bersama-sama menunaikan solat hajat untuk memelihara rakyat dan kesejahteraan Malaysia.

"Kami solat hajat bersama, saya harap Allah terima doa saya. Kita cuba, Allah yang memperkenan, kita serahkan segala-galanya kepada Allah," beliau dipetik sebagai berkata kepada portal itu.