Belum ada parti politik yang menerima sebarang pelawaan bagi menyertai perhimpunan BERSIH 5 kerana jemputan belum dikeluarkan lagi, kata Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah.

"Kami belum menghantar sebarang jemputan kepada mana-mana parti politik dan akan berbuat demikian apabila kita bersedia," kata Maria kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas komen Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pada Sabtu yang berkata, parti itu masih menunggu jemputan rasmi untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 5.

Menurut Maria, tarikh perhimpunan juga masih belum ditetapkan kerana BERSIH masih berunding.

Tuan Ibrahim berkata, memandangkan PAS masih menunggu jemputan, parti itu tidak membincangkan mengenai perhimpunan berkenaan pada mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu pada Sabtu lalu.

Maria kali pertama pada 3 Ogos lalu mengumumkan perhimpunan BERSIH 5 akan diadakan berikutan pemfailan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika yang menyebut dana AS$3.5 bilion milik 1MDB telah diselewengkan.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini minggu lalu, beliau berkata, Bersih akan berhubungan dengan PAS.

Pembabitan PAS dalam perhimpunan itu penting kerana parti itu mampu menggerakkan orang Melayu.

Perhimpunan BERSIH terakhir, pada 29 Ogos tahun lalu menyaksikan kehadiran masyarakat Melayu yang kurang memberangsangkan. Ini dikaitkan dengan keputusan PAS untuk tidak menggerakkan ahli-ahlinya.

Pengkritik menggunakan peluang itu menyerang perhimpunan tersebut sebagai demo "Cina" dan menjadikannya isu perkauman.

Perhimpunan BERSIH 4 menarik penyertaan lebih 100,000 orang yang menyokong tuntutan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung cara beliau mengendalikan 1MDB dan berbilion deposit dalam akaun bank peribadinya.

Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

[Baca berita penuh]