Tiga perkara kita tidak tahu tentang Dr Mahathir
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dalam bukunnya 'Frankly Speaking' yang dilancarkan minggu lalu mendedahkan beberapa perkara yang kebanyakan orang mungkin tidak tahu mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad.
Musa berkhidmat dari tahun 1981 hingga 1986, ketika negara diterajui oleh Dr Mahathir.
Kabinet gelar Dr Mahathir 'Tok Bomoh'
Musa menyifatkan Mahathir sebagai seorang yang agresif dan nakal serta sering mempersendakan rakan-rakannya dengan nama yang tidak sewajarnya.
"Sebagai contoh, beliau menggelar seorang menteri kabinet Mat Bulat. Ini adalah panggilan yang tidak sesuai yang menunjukkan bahawa menteri itu tidak disenangi oleh perdana menteri.
"Malah, saya hampir pasti bahawa beliau mempunyai gelaran untuk setiap daripada kami dalam kabinet. Sesetengah kami bercadang bertindakbalas. Oleh itu, kami memberinya nama 'tok bomoh'," kata Musa, tanpa menjelaskan sebab di sebalik nama itu.
Mahathir belajar menyanyi
Musa berkata, ketika zaman dahulu, syarikat korporat dan individu akan menawarkan sejumlah derma yang besar kepada badan amal jika Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, dan dirinya menyanyi secara individu di majlis-majlis awam.
"Saya diberitahu bahawa saya bagus dalam nyanyian. Begitu juga dengan Razaleigh. Dr Mahathir, pula bukan seorang penyanyi yang baik.
"Alasan kerana nyanyiannya tidak baik adalah, beliau secara berseloroh berkata saya yang merosakkan segalanya... 'Masalahnya,' beliau akan berkata, 'suara Musa’ selalu dalam kepala saya," tulis bekas timbalan perdana menteri itu.
Musa bagaimanapun berkata Mahathir akhirnya menjadi "penyanyi yang agak bagus" selepas mengambil pelajaran menyanyi dengan tekad yang sama beliau menceburi politik.
Mahathir mahu mencipta tandas berkonsep Islam
Mahathir juga mempunyai sfat yang inovatif dan kreatif, menurut Musa, dan mahu untuk mencipta "tandas berkonsep Iskam” meningkatkan kebersihan awam. Beliau juga mencipta prototaip sendiri dan meminta kabinet untuk mengujinya.
Beliau bagaimanapun agak defensif mengenai projek itu, dan tersinggung apabila Musa berkongsi dengannya rekaan tandas berteknologi tinggi yang digunakannya ketika berada di Switzerland. Beliau dilaporkan berkata: "Musa beritahu bahawa tandas saya tidak cukup baik, dan beliau membawa alternatif dari Switzerland."
Musa tidak menghuraikan maksud tandas berkonsepkan Islam itu, tetapi berdasarkan huraiannya mengenai tandas Swiss, adalah dipercayai ia adalah tandas jenis automatik termasuk bidet untuk melakukan semua kerja pembersihan tanpa menggunakan tangan.


