Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya akan mewujudkan keputusan pilihan raya yang tidak adil sekiranya reformasi ke atas proses itu tidak dilaksanakan.

Ujar beliau yang juga naib presiden PKR merangkap pengarah pilihan raya parti itu, sebagai sebuah badan yang sepatutnya bebas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib mempertahankan kedaulatan sistem demokrasi negara secara efektif.

"Merujuk kepada laporan Projek Integriti Pilihan Raya (2014), Malaysia terletak di kedudukan yang rendah dalam aspek integriti apabila berada di tangga 66 daripada 73 negara yang menjalankan pilihanraya parlimen dan presiden dari Julai 2012 hingga Disember 2013.

"Kajian ini secara spesifik mengkaji kesan persempadanan kawasan dan kaitan undang-undang pilihan raya di setiap negara. SPR tidak boleh mengambil mudah kesan persempadanan semula demi kepentingan pihak tertentu.

"Kegagalan berbuat demikian menyebabkan rakyat Malaysia hilang kepercayaan terhadap kewibawaan SPR sebagai sebuah badan bebas yang mengendalikan pilihan raya di Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, BERSIH menggesa Dewan Undangan Negeri Melaka mengecam Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron kerana mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri tersebut.

"BERSIH juga menyeru wakil-wakil rakyat Melaka untuk membuat usul mencela ketua menteri kerana bersubahat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Semua wakil rakyat BN dan pimpinan parti-parti komponen harus mempunyai tanggungjawab moral bersama untuk mengutuk cadangan yang anti-perlembagaan itu," jelas gabungan tersebut.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, atas semangat menyuburkan sistem demokrasi yang matang, pihaknya membantah sekeras-kerasnya kaedah persempadanan semula yang dijalankan oleh SPR.

"Kami akan bantah sehinggalah mereka melaksanakan beberapa cadangan yang telah diajukan oleh Jawatankuasa Parlimen Reformasi Pilihan raya pada tahun 2012.

"Jawatankuasa parlimen ini telah menyarankan penubuhan tiga suruhanjaya bebas yang berbeza - bertanggungjawab menguruskan pilihan raya, pemutihan daftar pemilih dan menyemak semula kawasan pilihan raya," ujar beliau lagi.