Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP: Fitnah Nawawi terhadap Agong biadap
Diterbitkan:  Aug 17, 2016 6:11 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Ahli parlimen pembangkang menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad terhadap Yang di-pertuan Agong sebagai biadap dan memintanya memohon maaf kerana memfitnah baginda sebagai Malaysian Official 1 (MO1).

"Ini adalah percubaan terdesak kerajaan untuk mengalih pandangan daripada isu dan skandal terbesar 1MDB yang sebenarnya.

"Ramai yang mendesak ahli parlimen Langkawi memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong," kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Bahrin Shah.

Bahkan katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri perlu memohon ampun kerana mengingkari titah pada Mesyuarat Majlis Raja-raja bulan Oktober 2015 untuk menangani masalah 1MDB dengan baik.

"Sebenarnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja Melayu telah menggesa Najib menyelesaikan masalah 1MDB tetapi ahli Parlimen Langkawi cuba mengaitkan implikasi kononnya Agong merupakan M01

"Bukan sahaja perbuatan MP Langkawi biadap dan fitnah, tetapi tindakan ketuanya Najiblah yang menyebabkan kemelut ini berterusan dengan tidak langsung menghormati titah Majlis Raja Raja untuk menjaga nama baik negara," ujarnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar turut menggesa Nawawi memohon ampun dan meminta Umno mengambil tindakan terhadapnya.

"Nawawi juga kena menarik balik kenyataan beliau yang MO1 adalah Yang di-Pertuan Agong dan mengaku kenyataan beliau adalah kenyataan yang bodoh.

"Umno kena ambil tindakan disiplin terhadap Nawawi, ketua Umno bahagian Langkawi yang saya anggap telah menghina Agong," katanya pada kenyataan media.

Katanya, kenyataan Nawawi seolah-olah menuduh Agong sebagai penjenayah yang dimaksudkan dalam dokumen Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

"Kenyataan Nawawi satu percubaan jahat untuk mendorong rakyat supaya menyalahkan dan bermusuhan dengan Agong dalam isu yang berkait dengan 1MDB," katanya.

Nawawi dalam tulisan di Facebook berkata berdasarkan perlembagaan, Agong ialah MO1 yang bertanggungjawab terhadap kerajaan.

Selepas empat jam, beliau kemudian menyuntingnya dengan menulis MO1 bukan perdana menteri.

Dalam komennya kemudian, Nawawi berkata, beliau tidak bercakap dalam konteks saman sivil DOJ tetapi daripada segi perlembagaan.

Berikutan itu satu laporan polis dibuat terhadapnya oleh Anina Saadudin, bekas pemimpin Umno yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

DOJ sebelum ini memfailkan saman sivil bagi merampas sejumlah aset yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.

Lihat Komen
ADS