Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Parti berasas kaum masih relevan, kata ahli BERSATU

Politik berasaskan kaum sentiasa relevan di Malaysia selagi tiada pembaharuan institusi di negara ini, kata anggota jawatankuasa pro-tem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Abdul Rahman.

Selagi media yang dikawal kerajaan dan polis tidak bertindak terhadap pelampau kaum, Syed Saddiq berkata kerajaan akan dapat mengalihkan perhatian daripada skandal politiknya dengan menyalakan sentimen perkauman.

"Jika ada rasuah yang berleluasa, ia boleh ditutupi melalui perkauman. Semua ini menjadi relevan, kerana mereka boleh bersembunyi di belakang sentimen perkauman.

"Persoalannya ialah; bagaimana kita boleh menarik pengundi Melayu yang mahu mengekalkan identiti mereka (melalui parti berasaskan kaum), tetapi secara perlahan-lahan menerima untuk pembaharuan jangka panjang," kata Syed Saddiq dalam satu forum malam tadi.

Forum itu dianjurkan oleh sayap Pemuda PKR dan diadakan di premis Malaysiakini di Petaling Jaya dengan dihadiri kira-kira 50 orang.

BERSATU mengemukakan borang pendaftaran untuk menubuhkan sebuah parti politik baru pada 9 Ogos dan sedang menunggu kelulusan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sistem keanggotaan parti itu dikritik di mana keahlian penuh hanya terbuka kepada bumiputera, manakala bukan bumiputera hanya boleh menyertainya sebagai anggota bersekutu.

Anggota bersekutu pula tidak mempunyai kuasa mengundi dan tidak boleh bertanding untuk pemilihan parti, namun masih boleh dilantik untuk memegang jawatan tertentu.

Syed Saddiq (foto) berkata keputusan untuk menubuhkan BERSATU dibuat selepas menjalankan kajian di kawasan yang gagal ditembusi parti-parti pembangkang dan anggota pengasasnya memutuskan parti itu perlu menjadi sebuah parti bumiputera.

Bagaimanapun, beliau berkata, parti itu akan berada di kedudukan yang baik untuk membuat lonjakan bagi menjadi sebuah parti pelbagai kaum sepenuhnya apabila tiba masanya.

"Walaupun parti itu mempunyai anggota bumiputera sebagai terasnya, ia bermula sebagai model kompromi. Ia adalah satu permulaan progresif yang baik, "katanya.

Beliau menambah akan memastikan bukan bumiputra dilantik memegang jawatan parti bagi memastikan ia boleh bergerak ke hadapan sebagai sebuah parti Malaysia di masa akan datang.

Bekas juara debat itu juga menegaskan bahawa masa untuk bertindak terhadap Umno semakin suntuk, kerana semakin banyak institusi Malaysia 'dikompromi'.

Pembaharuan dan transformasi diterbalikkan

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengambil alih kuasa melakukan beberapa perubahan progresif termasuk pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 untuk membenarkan pelajar universiti mengambil bahagian dalam aktiviti politik dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Dia melakukan banyak perkara yang progresif, tetapi apabila skandal 1MDB datang, semua transformasi dan pembaharuan ini telah diterbalikkan untuk menyelamatkan dirinya.

"Dalam tempoh setahun, telah ada perubahan besar," katanya.

Syed Saddiq berkata wang yang hilang melalui 1MDB boleh diganti, tetapi ia akan menjadi lebih sukar untuk menyelamatkan institusi demokrasi Malaysia apabila ia telah terjejas.

Selain itu, beliau berkata, belia Malaysia dan pengundi atas pagar menjadi lebih bersikap tidak peduli apabila usaha melakukan pembaharuan gagal membuahkan hasil, menjadikan ia lebih mendesak untuk bertindak.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel - bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan (foto) berkata langkah BERSATU menjadi sebuah parti berasaskan kaum tidak sesuai, tetapi dapat difahami.

Hakikatnya pilihan raya umum akan datang hanya tinggal kira-kira satu setengah tahun.

"Walaupun orang adalah idealistik dan kita tidak mahu melihat parti berasaskan kaum, saya faham, kerana sekarang itu adalah apa yang diperlukan; kerana ia adalah penting untuk mempunyai parti yang boleh menarik orang-orang yang tidak puas hati dengan Umno dan lain-lain, yang merasa lebih selesa dengan parti Melayu.

"Jangan lupa, orang Melayu di kawasan-kawasan separa bandar dan luar bandar digunakan Umno - sebuah parti Melayu sepanjang hidup mereka. Tiba-tiba minta mereka berubah? Itu akan menjadi sukar," kata Ambiga.

Bekas pengerusi BERSIH itu berkata beliau merasakan BERSATU akhirnya akan mengukuhkan pembangkang dengan membawa kekuatan yang tersendiri, dengan syarat parti-parti berkenaan boleh bekerjasama.

Lihat Komen
ADS