Dalam satu lagi bidasan ke atas mentornya yang kini menjadi seteru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang tidak menyebut sebarang nama, berkata beliau mengambil keputusan untuk mengemudi negara mengikut jalan yang berbeza berhubung dasar luarnya.

Berucap merasmikan persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) di Putrajaya, hari ini, katanya, kepentingan negara perlu diberi keutamaan dan bukannya kepentingan politik peribadi.

"Tiada lagi desakan atau tersentak dengan pertikaian lama atau tidak habis-habis dengan dendam lama yang sudah dilupakan orang.

"Kami di Malaysia, percaya dalam usaha mendekati negara-negara lain, kita perlu mengekalkan pendirian yang bebas, berkecuali dan berprinsip tanpa mengira sistem dan ideologi politik dalam hal ehwal di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Merujuk kepada pemimpin yang lalu, Najib berkata Malaysia telah membuat keputusan bahawa dasar luarnya tidak akan lagi digambarkan dengan kata-kata kaustik dan ulasan pedas sebaliknya mengambil pendekatan kesederhanaan.

"Ini akan membolehkan kita menarik perhatian dan mempromosikan persefahaman. Perkara ini adalah satu keutamaan baik di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa," katanya.

Najib juga membidas pemimpin sebelum ini yang secara sengaja mengamalkan dasar berkonfrontasi dengan negara luar, mungkin untuk kepentingan peribadi, yang jelas merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walau bagaimanapun, Najib yang mengambil alih kuasa pada 2009, berkata beliau memutuskan bahawa kepentingan negara perlu sentiasa didahulukan sebelum kepentingan politik peribadi.

"Perkara ini menjadi pendekatan kami - dan kami telah melihat manfaatnya,” katanya sambil memberi contoh tentang bagaimana beliau telah berusaha untuk menangani isu-isu legasi dengan Singapura berhubung penyelesaian kepada Points of Agreement (POA) pada 2010 selepas 20 tahun menghadapi jalan buntu.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Malaysia dan Singapura akan membina projek kereta api berkelajuan tinggi di antara Kuala Lumpur dan Singapura bagi meningkatkan kesalinghubungan, peluang ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat.

"Itu membangunkan hubungan dan perkongsian ekonomi dengan negara-negara lain adalah apa menggalakkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk rakyat kita.

Di Filipina, Malaysia memudahkan rundingan bagi menyelesaikan pemberontakan yang sudah lama berlarutan di Asia, katanya.

Malaysia, bagaimanapun, menurut Najib, tidak percaya dengan campur tangan asing dalam urusan dalaman negara lain.

"Kami bertegas bahawa zaman di mana kuasa imperial boleh memberi arahan tentang bagaimana untuk menjaga tingkah laku, baik dari segi politik, ekonomi atau budaya, sudah berlalu,” katanya.

Najib dan penyokongnya sebelum ini memberi amaran terhadap campur tangan asing berikutan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Saman DOJ memperbaharui desakan daripada pengkritik bagi perdana menteri supaya berundur, memandangkan tindakan mahkamah itu mendakwa seseorang, yang dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1' mendapat manfaat daripada dana yang diselewengkan itu.

Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, dan mendakwa Mahathir dan konco-konconya berkonspirasi bagi menumbangkannya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.