Sebanyak 161 kes mat rempit dilaporkan di Kedah membabitkan 380 tangkapan bagi tempoh 2014 hingga Jun tahun ini, sidang Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Exco Belia dan Sukan negeri Datuk Aminuddin Omar berkata ia melibatkan 308 pendakwaan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dua daerah tertinggi mencatatkan kes tersebut ialah Kota Setar dan Kubang Pasu," katanya menjawab soalan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) yang mahu tahu jumlah tangkapan mat rempit yang dibuat sejak tiga tahun lepas.

Menjawab soalan tambahan Nor Saidi berhubung langkah kerajaan negeri untuk mengurangkan masalah tersebut, Aminuddin berkata banyak program yang diatur pihaknya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, antaranya penganjuran 'Drag Racing'.

"Tiga program terbesar drag racing telah kita buat di Aman Central, Kulim Hi Tech Park dan Jitra di mana rakyat Malaysia dan Thailand lawan siapa paling hebat dalam penciptaan motor serta keberanian di jalan raya," katanya.

Selain itu, polis turut memberi kaunseling kepada mat rempit yang telah ditangkap bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan selain pemberian dana kepada Majlis Belia Daerah untuk mengadakan program berkaitan.

- Bernama