'PAS sedia bekerjasama dengan k'jaan tangani IS'
Pemuda PAS sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi membanteras aktiviti keganasan kumpulan militan IS di negara ini yang seringkali dikaitkan dengan ajaran Islam.
Naib Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khairuddin berkata apa yang menjadi keutamaan parti itu kini adalah agama Islam dan rakyat Malaysia, meskipun kerjasama itu akan dianggap sebagai usaha mewujudkan kerajaan perpaduan.
“PAS akan menggunakan segala ruang dan peluang (kerjasama) demi kebaikan rakyat. Walaupun kami akan disabitkan dengan kerjasama kerajaan perpaduan sekali pun kami tak kisah.
“Apa yang penting sekarang adalah Islam dan rakyat,” kata Khairil kepada pemberita di luar perkarangan ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebentar tadi.
Khairil berkata demikian selepas mengadakan pertemuan selama lebih dua jam dengan Timbalan Ketua Polis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali selain menyerahkan memorandum mengenai isu ancaman keganasan, jenayah keganasan dan kewibawaan polis.
Mengulas lanjut perkara itu Khairil berkata kerjasama tersebut bukan bermaksud antara PAS dengan Umno-BN tetapi hanyalah dengan kerajaan semata-mata.
“Ya, kami bekerjasama dengan kerajaan tetapi kami tidak bekerjasama secara politik dengan Umno-BN,” tegas Khairil.
Mengulas pertemuan hari ini, Khairil berkata polis setuju untuk bekerjasama dengan Pemuda PAS Wilayah bagi memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat khususnya melibatkan isu besar yang melanda negara.
“Antaranya ancaman pengganas yang kita lihat sekarang seperti mana yang timbalan perdana menteri nyatakan dan keduanya berkenaan jenayah keganasan yang berlaku di Kuala Lumpur khususnya dalam kejadian tembak menembak baru-baru ini dan juga penambahbaikan tugas polis,” kata Khairil.
Menurut Khairil polis kini berdepan kekangan kerana hanya 30 peratus anggotanya melakukan tugas penguatkuasaan.
Justeru, bagi membantu polis menangani aktiviti militan dan keganasan jenayah, PAS bertanggungjawab mengumpulkan anggota parti itu dan masyarakat bagi memberikan kefahaman kepada mereka.
“Bagi kami ini (kerjasama yang terjalin hari ini) cukup menunjukan polis bersikap terbuka," katanya.

