Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo didakwa menggunakan kuasa eksekutifnya sebagai Menteri Besar Selangor untuk memberi tanah milik anak syarikat kerajaan negeri, Shah Alam Properties (SAP) Sdn Bhd seluas kira-kira 220 ekar tanah, kepada beberapa pemaju swasta tanpa kelulusan exco kerajaan negeri.

Ketika membuat dakwaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman berkata, Dr Mohd Khir menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan SAP untuk meluluskan tanah tersebut.

Syarikat-syarikat tersebut ialah Zimmun Sdn Bhd (50 ekar), Wardah Berkat Sdn Bhd (50 ekar), Untung Utama Sdn Bhd (50 ekar), Maksak Selangor (16 ekar) dan Alaf Delima Sdn Bhd (30 ekar) dan beberapa pemilik lain.

Menteri Besar adalah pengerusi MTES dan juga pengerusi SAP, anak syarikat pemaju hartanah Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Ahmad Bhari yang juga Ketua Umno Bahagian Selayang berkata, kerajaan Selangor memberi tanah tersebut kepada SAP tetapi pada satu peringkat iaitu pada awal 80-an sebanyak 104 ekar telah berpindah milik kepada Yayasan Ummi yang dipengerusikan oleh Saidin Thamby, Ketua Umno Bahagian Gombak ketika itu.

Selepas itu, katanya, tanah tersebut bertukar tangan sekali lagi kepada sebuah syarikat Bintang Dian Sdn Bhd iaitu syarikat yang memajukan Taman Selayang Mulia.

Membelakangkan mesyuarat Exco

"Bagi tanah 220 ekar tadi, SAP menjalin kerjasama dengan Metroplex Holding Berhad untuk memajukan tanah tersebut melalui sebuah syarikat lain iaitu Cergas Tegas Sdn Bhd tetapi tidak berjaya kerana syarikat berkenaan menghadapi tindakan mahkamah," katanya dalam satu pertemuan dengan malaysiakini semalam.

"Berikutan itu, kerajaan negeri menarik balik tanah tersebut dari SAP dan mengarahkan MTES membahagikannya kepada keenam-enam syarikat tersebut. Malangnya, mereka menjualnya kepada Talam," katanya.

Ahmad Bhari berkata, tindakan Dr Mohd Khir membelakangkan Jawatankuasa Tanah Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah yang sepatutnya memproses dan meneliti setiap pemohon, sebelum dihantar kepada Mesyuarat Exco Selangor untuk diluluskan.

"Apa yang berlaku ialah Pejabat Tanah Gombak menghantar terus laporan kepada MTES yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Dr Mohd Khir juga membelakangkan Mesyuarat Exco.

"Saya sendiri sebagai Adun Taman Templer dan seorang jawatankuasa tanah Gombak yang memproses permohonan tanah di kawasan ini, sendiri tidak tahu tentang keputusan MTES memberikan tanah kepada enam syarikat tersebut," katanya lagi.

Menurutnya, tanah rezab hutan ini terletak Taman Templer di bawah pentadbitan Pejabat Tanah Daerah Gombak.

MB kata untuk pembangunan

Bagaimanapun, dakwanya, sebahagian besar daripada 220 ekar tersebut kini dijual kepada pemaju hartanah, Talam Corporation Bhd untuk dimajukan dengan projek pembangunan termasuk kediaman, bangunan pejabat dan pusat membeli belah.

Katanya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah meluluskan Perintah Pembangunan kepada Talam untuk memajukan kawasan tersebut.

Menurut Ahmad Bhari, tindakan Dr Mohd Khir menggunakan kuasa eksekutifnya itu, telah menimbulkan kemarahan rakyat Selangor, khususnya penduduk kawasan Taman Templer sendiri.

"Beberapa pihak telah membuat laporan polis terhadap isu tersebut tetapi sehingga ini belum ada perkembangan yang berlaku. Saya juga telah meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat siasatan bagi mengenalpasti masalah yang berlaku di kawasan tersebut," katanya.

Katanya, beliau telah membawa isu tersebut dalam mesyuarat Perhubungan Umno Selangor tetapi Dr Mohd Khir berkata tindakan tersebut terpaksa dibuat untuk pembangunan di kawasan Selayang.