'Saya amat bangga dengannya', kata isteri Peng Soon
Pingat perak yang dimenangi beregu campuran negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, adalah hadiah paling bernilai untuk keluarga Chan Peng Soon.
Isteri Peng Soon, Cham May May berkata ia sememangnya impian suaminya selama ini untuk mengecap kegemilangan di Sukan Olimpik dan beliau mahu Peng Soon terus mencapai lebih banyak kejayaan dalam kariernya.
Beliau juga berkata anak mereka, Milton Chan, 5, dan Hannah Chan, 10, begitu teruja dan gembira setiap kali menonton bapa mereka beraksi di Rio.
"Kami bangga dengan anda, daddy. Ia adalah kejayaan besar, saya telah melihat usaha kerasnya selama ini... apa yang dilaluinya sepanjang waktu itu dan kini dia pulang membawa kejayaan. Impiannya menjadi kenyataan.
"Saya amat bangga dengannya. Kami bertuah memilikinya dan dia juga ayah yang hebat kepada dua anak kami," kata May May kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Harapan besar rakyat Malaysia untuk melihat pingat emas pertama Olimpik dibawa pulang menerusi acara beregu campuran tidak kesampaian apabila gandingan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas di final semalam.
Impian gandingan negara meraih pingat emas berakhir apabila tewas kepada juara dunia 2013 yang juga beregu ranking ketiga dunia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia 21-14, 21-12.
Selepas perlawanan itu, Peng Soon turut berterima kasih kepada isterinya yang terpaksa bersendirian menjaga dua anak mereka apabila beliau beraksi di Sukan Olimpik.
- Bernama

