Berpuluh-puluh lori hantu masih berkeliaran di Taman Wahyu
Berpuluh-puluh 'lori hantu' masih beroperasi projek tebatan banjir di Taman Wahyu walaupun pemajunya Peremba Constructions Sdn Bhd menafikan ia digunakan oleh subkontraktor menggunakan mengangkut keluar pasir dari projek tersebut.
Berpuluh-puluh 'lori hantu' masih beroperasi projek tebatan banjir di Taman Wahyu walaupun pemajunya Peremba Constructions Sdn Bhd menafikan ia digunakan oleh subkontraktor menggunakan mengangkut keluar pasir dari projek tersebut.
Pemaju tersebut juga sebelum ini menafikan yang`lori hantu' itu menggunakan jalan pintas melalui kawasan rumah penduduk untuk mengangkut keluar pasir dari kawasan tersebut.
Bagaimanapun, tinjauan
malaysiakini
bersama beberapa penduduk Taman Wahyu pagi tadi mendapati masih banyak `lori hantu' beroperasi mengangkut pasir melalui jalan kecil di kawasan penempatan penduduk itu.
Dianggarkan kira-kira 20 `lori hantu' beroperasi mengangkut pasir dari tapak projek yang terletak di belakang pasaraya besar Makro melalui Jalan Sibu dan Jalan Sibu 3, sebelum menuju ke jalan besar di Jinjang.
`Lori hantu' ialah lori yang didakwa tidak mempunyai cukai jalan dan lori lama yang digunakan untuk mengangkut keluar pasir dari kawasan projek di Taman Wahyu.
Penduduk mendakwa subkontraktor yang dilantik oleh Peremba Constructions, sudah dua tahun menggunakan `lori hantu' untuk mengangkut keluar pasir dari tiga kolam yang dibina di kawasan berkenaan.
Jalan Sibu dan Jalan Sibu 3 merupakan penempatan penduduk di mana rumah kediaman dibina di sekeliling kawasan tersebut. Sesetengah pemandu juga melalui Jalan Sibu 12, Jalan Sibu 13 dan Jalan Sibu 18 kawasan yang padat dengan penduduk.
Guna jalan pintas
Menurut Setiausaha Penduduk Taman Wahyu, Yap Poh Peng, selalunya 100 `lori hantu' menggunakan jalan tersebut setiap hari termasuk pada cuti hujung minggu untuk mengangkut pasir dari tapak projek berkenaan.
"Saya rasa kedatangan anda (malaysiakini) sudah dikesan oleh pihak kontraktor utama projek tersebut kerana selalunya ada 100 buah lori melalui jalan ini," katanya.
Sepatutnya, kata beliau, lori pengangkut pasir ini sepatutnya menggunakan jalan belakang menghala ke Makro dan keluar ke Jalan Ipoh, tetapi pemandunya tidak berbuat demikian dan sebaliknya menggunakan jalan pintas melalui kawasan kediaman penduduk.
Yap berkata, penduduk pernah membuat sekatan dengan meletakkan kayu dan tong besar tetapi pemandu lori membuangnya ke tempat lain.
"Masa paling sibuk mereka bekerja ialah dari jam 8 pagi sehingga 6 petang di mana berpuluh-puluh lori berbaris melalui kawasan rumah penduduk mengangkut pasir dari tapak projek," katanya lagi.
Seorang lagi penduduk Taman Wahyu, Peter Ng See ( gambar ) mendakwa, tindakan `lori hantu' yang dipandu laju menyebabkan penduduk takut melalui laluan berkenaan.
Katanya, apabila melihat `lori hantu' melalui jalan taman tersebut, penduduk terpaksa memberhentikan kenderaan mereka kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.
Sukar letak kenderaan
"Apabila malam `lori-lori hantu' tersebut diletakkan di tepi jalan kawasan rumah penduduk menyebabkan pemilik sukar untuk meletakkan kenderaan mereka," katanya.
Sebelum ini pengurus projek. tebatan banjir tersebut, Loong Seow Phang berkata, subkontraktor yang dilantik oleh Peremba Constructions untuk mengangkut keluar pasir tersebut tidak pernah menggunakan `lori hantu'.
Beliau juga menafikan lori pengangkut pasir menggunakan jalan pintas di kawasan penempatan penduduk menuju ke tapak projek di Taman Wahyu.
Peremba Constructions diberi kontrak oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membina tebatan banjir berhampiran tempat pelupusan sampah Alam Flora di Taman Wahyu bagi kawasan utara Kuala Lumpur.
Kontraktor tersebut sedang giat menggali dan membawa keluar pasir dari kawasan tersebut. Projek tersebut dijadualkan siap sepenuhnya pada 2007.
Taman Wahyu yang terletak di Batu Enam Jalan Ipoh menghala ke Selayang mempunyai 400 rumah penduduk, tidak termasuk beberapa blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran projek tebatan banjir tersebut.

