Rundiang pembahagian kerusi antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan pembangkang lain akan dimulakan sebaik saja pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Presiden penaja BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia adalah antara agenda utama parti berkenaan sebaik saja pendaftarannya diterima.

"Untuk itu mesti diadakan proses perbincangan bagi menentukan kerusi mana yang akan ditandingi BERSATU," katanya di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sidang media itu diadakan di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya.

Menurut Muhyiddin bertujuan untuk membentuk gabungan bersatu pembangkang bagi menghadapi BN pada pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya 2018.

Berdasarkan maklumat dan data diperoleh, kata bekas timbalan perdana menteri itu, ada beberapa kawana yang dikenal pasti sesuai untuk diletakkan calon BERSATU.

"Mungkin beberapa kerusi sudah diperuntukkan kepada PAS dan PKR namun jika mereka memahami matlamat kita ialah bekerjasama, justeru atas dasar itu kita akan berunding," katanya.

Menurut beliau mana-mana parti yang mempunyai peluang paling cerah untuk menang wajar diberikan kerusi berkenaan untuk ditandingi.

Ia juga bergantung kepada sokongan dan populariti Umno yang semakin merosot walaupun di kawasan dianggap kubu kuat parti berkenaan.

"Kita perlu selesaikan apa saja perbezaan yang ada. Kita boleh duduk (dan berbincang)," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mencabar Datuk Seri Najib Razak di kerusi Pekan, Muhyiddin yang kini anggota parlimen bebas mewakili Pagoh berkata: "Insya-Allah, sama ada BERSATU atau mana-mana sekutu (akan diturunkan bertanding di kawasan itu)."

[Baca berita asal]