Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak seperti Mahathir, Najib akan cucuk tanam lepas bersara
Diterbitkan:  Aug 22, 2016 8:02 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata terdapat banyak perkara lain yang beliau akan lakukan setelah bersara selain daripada "mengganggu" penggantinya.

Dalam dialog 60 minit bersama perdana menteri pada 18 Ogos lalu, Najib berkata beliau akan menghabiskan masanya melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukannya ketika berkuasa kerana kesibukan masa.

“Bercucuk tanam ke, pergi tengok Manchester United main bola ke. Macam-macam kita boleh buat. Boleh pergi negara yang kita belum lawat.

“Boleh tulis buku. Kenapa saya nak ganggu pengganti saya?” katanya ketika menjawab soalan mengenai bagaimana cara beliau berurusan dengan serangan terhadap pentadbirannya yang jelas merujuk kepada tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang membandingkan kepimpinannya dengan beberpa perdana menteri sebelumnya, termasuk pemerintahan 22 tahun Dr Mahathir.

Transkrip penuh dialog Najib dengan pemimpin pelajar yang merupakan sebahagian daripada acara Kembara Mahasiswa Nasional itu disiarkan di blog rasminya hari ini.

Pada masa sama, Najib berkata beliau bersedia untuk minum kopi bersama atau makan malam bersama penggantinya jika dipelawa.

“Kalau pengganti saya nak ajak saya minum kopi, nak belanja saya makan malam saya akan hadir.

“Saya akan beritahu dia, nasihat dia kalau perlu. Tetapi saya tidak akan tegur dia secara terbuka. Pada saya, itu bukan perkara yang betul,” katanya.

Menurut Najib, sebagai bekas pemimpin mesti, mereka mempunyai persefahaman kerana tergolong dalam kelab terpilih dan mesti sentiasa saling membantu.

Katanya, kritikan sedemikian oleh bekas perdana menteri adalah tidak adil dan sesuatu yang dakwanya tidak pernah berlaku di negara-negara lain.

“Di Amerika (Syarikat) pun tidak berlaku. (George) Bush ke sesiapa ke, dia tidak mengkritik (Barrack) Obama atau ahli politik semasa. Bila dah bersara dia buat kerja dia. Itu dia.

“Pemimpin China lagilah bila bersara terus hilang, macam tidak ada. Hu Jintao ke, Wen Jiabao ke kita tidak dengar cerita dia langsung.

“Sebab itulah cara kita untuk menentukan pentadbiran negara kita berjalan dengan lancar dan tidak diganggu oleh bekas pemimpin,” katanya.

Sejak mengisytiharkan dirinya meninggalkan Umno pada Februari tahun ini, Mahathir mengetuai gerakan menentang Najib melalui Deklarasi Selamatkan Malaysia dan menerajui pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

BERSATU, kata Mahathir, ditubuhkan selepas pemimpin terbabit menerima hakikat bahawa memang tidak ada banyak ruang untuk kritikan terhadap Najib dalam Umno.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS