Shahrir: Tiada bukti menunjukkan saya terbabit dalam politik wang
Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil mendakwa Lembaga Disiplin Umno tidak mempunyai bukti ketika menjatuhkan hukuman penggantungan selama tiga tahun ke atas dirinya.
Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil mendakwa Lembaga Disiplin Umno tidak mempunyai bukti ketika menjatuhkan hukuman penggantungan selama tiga tahun ke atas dirinya.
Beliau mendakwa, bahan bukti yang digunakan oleh lembaga itu pita rakaman video yang mendakwa beliau mengadakan jamuan kepada beberapa ahli Lembah Pantai sebagai sangat kabur.
"Saya katakan kabur kerana pita rakaman video dipasang dari seberang jalan di rumah saya yang merakamkan kedatangan beberapa ahli cawangan Umno dan minum di rumah saya.
"Itu bukan jamuan seperti dakwaan Lembaga Disiplin Umno yang menjadi asas kepada penggantungan saya selama tiga tahun. Orang datang ke rumah saya, saya terpaksa memberi minum sebagai meraikan mereka.
"Semasa musim pemilihan Umno Bahagian Lembah Pantai tahun lalu, saya tidak mengadakan majlis kenduri, baik di rumah saya atau di tempat lain, berkempen, membuat ucapan serta membeli perwakilan. Malah, tidak ada sebuah khemah yang dibina di rumah saya," katanya ketika ditemu oleh malaysiakini hari ini.
Shahrir mendakwa, aktiviti rakaman tersebut dilakukan oleh beberapa orang yang dipercayai mendapat arahan atau restu dari pemimpin utama Umno Lembah Pantai selepas kalah dalam pertandingan tersebut.
Rakaman video
Katanya, ini menunjukkan ada segelintir pemimpin Umno Lembah Pantai `bermain kotor' dan gila kuasa dan sanggup merakamkan gambar ahli Umno yang datang ke rumahnya di Petaling Jaya, kononnya beliau mengadakan jamuan untuk berkempen dalam pemilihan ketua bahagian Lembah Pantai.
Katanya, pemimpin berkenaan kemudiannya menghantar rakaman pita video tersebut kepada Lembaga Disiplilin Umno sebagai bukti kononnya beliau terlibat dengan politik wang semasa pemilihan tahun lalu.
Shahrir digantung keahlian selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno yang mendapatinya bersalah kerana mengadakan jamuan di rumahnya di Petaling Jaya dengan tujuan untuk mempengaruhi perwakilan supaya mengundinya bagi jawatan ketua bahagian Umno Lembah Pantai pada pemilihan Julai lalu.
Menurutnya, beliau menerima surat penggantungan tersebut dari Lembaga Disiplin Umno Isnin lalu dan sudah mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Umno hari ini.
Bagaimanapun, dakwanya, sebahagian besar ketua Umno cawangan yang kesemuanya berjumlah 45 cawangan di bahagian tersebut, masih memberi sokongan kepada beliau.
Menurutnya, hampir 40 ketua cawangan Umno datang sendiri berjumpa dengan beliau untuk menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinannya di Lembah Pantai.
"Mereka bimbang saya tidak lagi dapat memimpin Umno Lembah Pantai selama tiga tahun akibat penggantungan tersebut," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Damansara, Kuala Lumpur hari ini.
Kemuka rayuan
Tambahnya, kesemua ketua Umno cawangan itu memintanya membuat rayuan supaya dikaji semula penggantungannya agar beliau terus dapat memimpin bahagian Lembah Pantai.
Shahrir berkata, Umno Lembah Pantai mempunyai 45 cawangan dan beliau menjadi ketua cawangan Kampung Pasir Baru, Pantai Dalam.
Menurutnya, hanya tujuh atau lapan cawangan yang tidak setuju dengan kepimpinannya dan menyokong bekas ketua, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu mengamalkan politik balas dendam sebaliknya berazam untuk memperkukuhkan Umno Lembah Pantai untuk menjadikannya yang terbaik di negara ini.
Shahrir menafikan beliau bermusuh dengan mana-mana pihak di Lembah Pantai tetapi mengakui pergolakan yang berlaku sejak pemilihan ketua bahagian pertengahan tahun lalu, masih belum reda sepenuhnya.
"Saya tidak ada masalah dengan Raja Nong Chik tetapi ada beberapa kerat ahli Umno yang masih menganggap saya sebagai musuh dan sikap ini tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menjejaskan Umno Lembah Pantai sendiri," katanya.

