Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Portal pro-Umno terkenang 'tragedi' Sepang, dengar Ku Li
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 7:13 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Sebuah portal pro-Umno mengingatkan parti itu mengenai 'tragedi' Sepang yang menyaksikan BN kalah di kawasan itu akibat pepecahan yang berlaku ke atas undi di kalangan Umno semasa pilihan raya umum ke-13.

Pada pilihan raya itu, kerusi parlimen Sepang dimenangi oleh calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin buat kali pertama setelah berdepan dengan tiga calon yang semua datang daripada Umno.

Selain calon Umno yang bertanding atas tiket BN, Datuk Seri Mohd Zain Mohamed, dua lagi calon bebas adalah AJK Umno Bahagian Sepang iaitu Hanafiah Mohamad dan Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.

Portal itu, mykmu.net berkata, justeru, pandangan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li wajar diberi perhatian serius dalam mencari cara dan metodologi untuk menangani ancaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Sejarah terukir dan terpahat di dalam memori kedukaan BN dan Umno apabila Parlimen Sepang menjadi saksi pada PRU yang lepas, bagaimana “warlord” UMNO Selangor yang dikenali sebagai Zin Badak, tumbang menyembah bumi apabila undi Umno terbahagi diantara dirinya dan calon bebas, iaitu Ketua Pemuda Umno Bahagian.

"Tercabut ego dan keangkuhan Zin Badak, yang sebelum itu mewar-warkan tahap keyakinan yang tinggi, bahawa dirinya akan menang dengan culaan kemenangan majoriti tinggi.

"Jangan terpedaya dengan keyakinan yang tiada berasas, dan jangan terbuai dilambung pujian. Jangan sombong, jangan bongkak," kata portal itu lagi.

Semalam, Ku Li dipetik sebagai berkata, pemimpin Umno jangan mengambil mudah serta memperlekehkan penubuhan BERSATU kerana parti itu dianggotai mereka yang berpengaruh serta pernah berada dalam Umno.

Menurut ahli parlimen Gua Musang itu, ini lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengasas parti berkenaan.

"Kedua-dua pemimpin ini mempunyai pengaruh, berpengalaman dan kita tidak boleh memandang rendah terhadap mereka," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online.

Mengulas lanjut, mykmu.net berkata, nasihat orang lama yang sudah terbiasa dengan sepak terajang politik seperti Ku Li tidak boleh dipandang enteng dan sebelah mata.

"Apatah lagi, beliau juga pernah berada bersama-sama Mahathir di dalam parti dan kerajaan suatu ketika dahulu.

Ku Li, katanya, tentu tahu bahawa Mahathir masih mempunyai pengaruh di kalangan rakyat, di samping watak utama seperti Muhyiddin Yassin.

"Sedikit sebanyak, pasti mereka juga mempunyai pengikut-pengikut yang taksub," ujarnya.

Kerusi parlimen Sepang dan tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) menjadi kubu kuat BN di Selangor sejak sekian lama walaupun tsunami politik berlaku pada pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008.

Namun, semasa pilihan raya umum tahun 2013, kerusi parlimen Sepang bersama kesemua tiga DUN di dalamnya iaitu Sungai Pelek, Tanjung Sepat dan Dengkil berjaya dirampas pembangkang buat pertama kali.

Lihat Komen
ADS