Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek kes bunuh 3 sekeluarga direman 7 hari
Diterbitkan:  Aug 26, 2016 3:53 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Seorang lelaki direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan tiga sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim di Melaka awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din berkata siasatan terhadap suspek berumur 26 tahun itu dijalankan dalam pelbagai aspek terutamanya berkaitan punca dan motif kejadian berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka Mohd Anuar Ostadi.

Sementara itu, Ramli berkata dua lagi mangsa yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Melaka dan kini dalam keadaan stabil manakala seorang lagi wanita berusia 70-an yang terlibat kini dalam keadaan trauma.

Dalam kejadian pada awal pagi semalam, Hassan A.Wahab, 70, isterinya Mariah Baharin, 60, dan anak lelaki mereka Muhammad Taufeq, 22 ditemui mati dipercayai dibunuh manakala dua lagi anak mereka Noor Hazlinda Diyana, 26, dan Nuraqedah Aeina, 24, cedera.

Seorang lagi mangsa iaitu ibu kepada Mariah, Siti Khatijah Muhammad berusia 70-an turut dirawat di Hospital Melaka.

Sementara itu, jenazah tiga sekeluarga itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bertam Malim kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Lebih 500 orang terdiri daripada anggota keluarga, kenalan dan orang ramai hadir. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhammad, Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan beberapa pemimpin masyarakat di negeri itu.

Suasana pilu menyelubungi mereka yang berada di tanah perkuburan itu yang ketika itu hujan lebat.

Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Al-Faizin, Kampung Bertam Malim dari Hospital Melaka untuk disembahyangkan kira-kira 10.30 pagi yang diimamkan oleh imam masjid berkenaan Rashid Mohd Yusof.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS