BERITA Malaysiakini

Mahathir dijadual sertai #TangkapMO1 esok

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengesahkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyertai himpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur esok.

Dalam kenyataannya, Khairuddin berkata, keputusan itu dibuat sebagai memenuhi jemputan dan kehendak Persatuan Mahasiswa Melayu Malaysia dengan kehadiran Mahathir di Dataran Merdeka pada sebelah petang.

"Secara peribadi, saya berharap keseluruhan rakyat akan turun secara beramai-ramai untuk memberi sokongan moral pada himpunan ini," kata beliau lagi.

Hari ini, kira-kira 20 pelajar Malaysia di Australia mengadakan himpunan #TangkapMO1, lebih awal sehari daripada perhimpunan utama esok.

Kumpulan pelajar tersebut berkumpul di Australian National University di Canberra dalam acara yang dianjurkan oleh Malaysian Progressives in Australia (MPOZ).

Kebanyakan peserta adalah penuntut Malaysia yang datang dari beberapa universiti di seluruh Australia antaranya Canberra, Sydney, Melbourne dan Perth.

PAS, bagaimanapun, setakat ini belum mengesahkan penyertaan pada himpunan itu walaupun rata-rata parti pembangkang di negara ini menyokongnya.

Pihak penganjur acara tersebut mengesahkan perhimpunan itu akan diteruskan seperti yang dirancang walaupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan di Dataran Merdeka ekoran penganjur tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).