Haramkan Sisters In Islam, kata Pemuda PAS WP
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor mengadakan perhimpunan secara aman di Masjid Kampung Baru hari ini bagi membantah tuntutan pemansuhan undang-undang moral terhadap individu di negara ini.
Perhimpunan selepas solat Jumaat itu diadakan bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap tuntutan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta 200 individu supaya kerajaan memansuhkan penggunaan undang-undang moral terhadap individu.
Perhimpunan tersebut diketuai oleh Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS, Mohd Haniffa Maidin. Hadir sama ialah Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Riduan Mohd Noor dan Setiausaha Kerja Pemuda PAS Pusat, Sabki Yusof.
Perhimpunan tersebut mengeluarkan satu deklarasi bertajuk "Selamatkan Maruah Islam" yang antara lain menuntut Majlis Raja-Raja dan kerajaan campurtangan dan menolak tuntutan mereka secara terbuka.
Mereka juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil tindakan keras dengan membatalkan pendaftaran pertubuhan Sisters In Islam dan memecat ahli-ahli Kaukus Parlimen mengenai hak asasi manusia yang menyokongnya.
Sisters in Islam dan Jawatankuasa Kaukus Parlimen juga diminta menarik balik segala apa juga permintaan mereka sebelum ini yang jelas bercanggah dengan dasar Islam dan Perlembagaan Negara.
Deklarasi itu turut menuntut supaya Sisters in Islam dan Kaukus Parlimen tersebut memohon maaf kepada umat Islam atas keterlanjuran sikap mereka dalam isu tersebut.
Manakala Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) pula digesa membuat siasatan berhubung akidah yang diperjuangkan oleh Sisters in Islam serta mengharamkan pertubuhan ini yang jelas mempergunakan nama persaudaraan Islam untuk mengelirukan umat Islam.
Perketat undang-undang syariah
Menurut deklarasi itu lagi, mereka yang berkelayakan dalam bidang agama Islam perlu dilantik sebagai pengarah jabatan agama di semua negeri bagi memastikan tindakan jabatan tersebut dipandu oleh mereka yang mempunyai ilmu dan memahami Islam yang sebenarnya.
"Kerajaan hendaklah memperbaiki sistem perundangan syariah yang tampak lemah kerana tidak disandarkan kepada al-Quran dan Sunnah sepenuhnya. Kerajaan juga perlu memperketatkan undang-undang syariah dan sivil khususnya bagi menjaga keselamatan dan masa depan masyararat berbilang kaum di Malaysia," tambahnya.
Pemuda PAS mendakwa Sisters in Islam dan Kaukus Parlimen berkenaan telah menuntut agar undang-undang agama dan syariah tidak digunakan bagi mengatasi masalah sosial dan keruntuhan akhlak, termasuk semua undang-undang di peringkat kebangsaan, negeri dan kerajaan tempatkan haruslah dimansuhkan bagi menjaga hak asasi rakyat.
Sisters in Islam dan Jawatankuasa Kaukus Parlimen juga, menurut deklarasi tersebut, didakwa menuntut agar kuasa mufti dimansuhkan, serta menuntut kerajaan mengiktiraf kebebasan beragama di negara ini dengan membenarkan umat Islam mengisytiharkan kemurtadan mereka secara terbuka tanpa campurtangan Mahkamah Syariah.
Ia juga mendakwa Sisters in Islam dan Kaukus Parlimen berkenaan telah mendesak Jabatan Pendaftaran Negara supaya menghapuskan penyataan status agama dalam kad pengenalan bagi memudahkan umat Islam mengisytiharkan kemurtadan mereka.
Di samping, itu ia juga mendakwa mereka telah menuntut kerajaan membenarkan agama lain memberikan pandangan dan mempersoalkan cara hidup dan akidah umat Islam melalui cadangan mereka menubuhkan Majlis Perundingan Antara Agama (ICM).
"Mereka juga mendesak jabatan agama tidak campurtangan dalam urusan peribadi umat Islam termasuklah dalam tatacara berpakaian, pergaulan dan cara hidup walaupun bertentangan dengan hukum Islam," kata deklarasi tersebut.
Sebelum ini, 50 NGO dan lebih 200 individu yang diketuai anak Perdana Menteri, Nori Abdullah dan anak bekas Perdana Menteri, Marina Mahathir mendesak kerajaan supaya tidak menggunakan undang-undang akhlak ke atas rakyat, khususnya mengawal tingkah laku mereka.
Sebelum ini, Pemuda PAS mencabar Sisters In Islam (SIS) yang dianggap sebagai pihak paling berperanan dalam isu yang sama, berdebat dengan mereka secara terbuka. Bagaimanapun sehingga hari ini, SIS belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung cabaran Pemuda PAS itu.