Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki mengaku Nabi Isa akan didakwa di mahkamah
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 7:24 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Seorang lelaki yang mengaku sebagai Nabi Isa yang ditangkap di ibu negara semalam akan didakwa di mahkamah, kata menteri agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihak berkuasa sudah menahan dan mengambil keterangan lelaki 43 tahun itu di Kuala Lumpur.

"Pendakwaan akan dibuat, selebihnya kita serahkan kepada pihak berwajib,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Jamil bagaimanapun berkata kes mengaku sebagai Nabi Isa ini bukan pertama kali berlaku dan pernah terjadi di negara lain seperti Amerika Syarikat.

“Kes mengaku sebagai Nabi Isa sudah banyak kali berlaku termasuklah sewaktu saya berada di Amerika dahulu.

“Ini mungkin disebabkan fenomena kecelaruan pemahaman tentang agama, hukum dan salah tafsiran Al-Quran.

"Dunia moden kini menyebabkan banyak perkara termasuklah yang tidak betul diviralkan menerusi laman sosial.

“Justeru saya mohon umat Islam mendapatkan pencerahan, tabayyun daripada individu bertauliah dan diyakini kemampuan ilmu, penjelasan dan maklumatnya," beliau dipetik sebagai berkata.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif semalam mengesahkan pihak berkuasa menahan lelaki itu di Jalan Tun Razak selepas dikatakan mengugut untuk membunuh beberapa pembesar negara.

Suspek dilapor diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Lihat Komen
ADS