Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Veteran Umno dakwa Mufti Perlis antikerajaan, sebar faham Wahabi
Diterbitkan:  Aug 28, 2016 6:31 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Veteran Umno Malaysia kesal dengan sikap Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang dilihatnya terus mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Malah, setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata Asri turut menyokong gerakan antikerajaan yang didukung oleh pembangkang.

"Perlakuan mufti ini telah keterlaluan dan tidak boleh diterima lagi. Campur tangannya secara terbuka dalam politik dan pentadbiran kerajaan sudah berlebihan dan mencolok mata.

"Sebagai seorang mufti, beliau sepatutnya tahu bidang tugas dan tanggungjawabnya.

"Tidak salah dia menegur kepimpinan dengan cara berhemah sesuai dengan jawatannya. Tetapi bukan secara berterusan campur tangan sehingga melebihi batas kemuliaan institusi mufti itu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustapha dipercayai merujuk kenyataan Mohd Asri yang didakwa menyokong Perhimpunan #Tangkap MO1 anjuran sekumpulan mahasiswa di ibu kota semalam.

Mufti Perlis itu di laman Facebooknya semalam menulis "Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!"

Justeru, Mustapha berkata Veteran Umno mencabar Mohd Asri supaya meletak jawatan sebagai mufti Perlis dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya berminat dalam politik.

"Asri boleh memilih untuk bertanding atas tiket pembangkang yang dia suka," katanya.

Selain itu, Mustapha juga mendakwa Mohd Asri seorang 'pemimpin Wahabi' yang berusaha keras mengembangkan fahaman itu di Malaysia, malah dilindungi oleh menteri pusat untuk mempromosi 'dakyahnya'.

"Veteran Umno bimbang pengaruh Wahabi sudah mula bertapak dalam Umno dan kerajaan. Sekiranya ini tidak dibendung, maka Malaysia akan berdepan dengan masalah akidah yang boleh membawa kepada perpecahan ummah.

"Veteran juga kesal kerana menteri yang bertanggungjawab dalam hal agama tidak mampu berbuat apa-apa untuk membendung gerakan 'mewahabikan' Malaysia," katanya yang meminta kerajaan Perlis mengkaji semula pelantikan Asri sebagai mufti di negeri itu.

Beliau juga mendakwa Mufti Perlis itu kini sedang mengukur pengaruhnya di kalangan orang muda yang akan menentukan kekalahan BN dalam PRU akan datang.

"Asri akan menggunakan pengaruhnya untuk menghasut golongan muda supaya meneruskan demonstrasi sebagaimana dalam postingnya yang terbaharu menyokong demonstrasi mahasiswa di Sogo yang didokong oleh DAP.

"Asri dan gerakan Wahabinya amat berbahaya kepada negara ini. Membiarkan mereka bererti negara ini mengundang bencana," katanya.

Lihat Komen
ADS