Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang dihidupkan semula mendapat sokongan beberapa pemimpin utama pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO), demikian menurut presidennya yang baru, Hassan Karim.

Menurutnya, selepas PRM mengadakan Kongres Nasional Khas semalam, pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara memberikan ucapan tahniah kepada beliau atas usaha menggerakkan semula parti itu.

"Mereka yakin PRM baru itu boleh memainkan peranan memerangi rasuah dan ketidakadilan yang semakin berleluasa dalam masyarakat dan kerajaan, sebagaimana yang dilakukan oleh parti itu sejak berpuluh tahun lalu.

"Ini bermakna perjuangan PRM masih diterima oleh pemimpin pembangkang dan NGO meskipun sebahagian besar ahlinya telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui pencantuman kedua-dua parti itu pada 2003," katanya.

PRM mengadakan Kongres Nasional Khas di Johor Bharu semalam bagi mendapatkan pandangan ahli untuk menggerakkan semula parti tersebut selepas bergabung dengan PKR.

Hassan berkata, kira-kira 100 ahli PRM yang menghadiri kongres tersebut sebulat suara setuju supaya PRM diaktifkan semula untuk bergerak menjadi sebuah parti politik seperti sebelum pencantuman dengan PKR.

"Kami akan menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membolehkan PRM terus kekal sebagai sebuah parti politik seperti yang dikehendaki oleh ahli.

"Bagaimanapun, PRM akan bekerjasama erat dengan NGO untuk memperjuangkan isu-isu masyarakat selain memohon menyertai pakatan pembangkang," katanya.

Bergerak bertemu ahli

Menurut Hassan, pertelingkahan yang berlaku dengan bekas pemimpin PRM yang menyertai PKR `hanyalah perbalahan kecil' dan ia akan lenyap tidak lama lagi.

"Ia berlaku kerana salah faham...air yang dicincang tidak akan putus," katanya lagi.

Hassan berkata, jawatankuasa PRM akan bergerak ke seluruh negara untuk bertemu ahli bagi menerangkan mengapa parti ini perlu digerakkan semula.

Katanya, parti itu juga akan mengadakan forum politik dan kursus kepada ahli bagi memantapkan lagi perjuangan parti.

Hassan berkata usaha menyelamatkan PRM dibuat kerana mereka yakin perjuangannya masih diterima oleh sebahagian rakyat negara ini.

"Ramai ahli PRM yang tidak menyertai PKR meminta kami mencari jalan untuk menyelamatkan PRM," katanya.

Katanya, ahli jawatankuasa mengambil keputusan untuk terus kekal di dalam PRM bukan kerana mereka tidak diberi jawatan utama oleh PKR sebaliknya kerana yakin perjuangan parti ini yang ditubuhkan sejak 50 tahun lalu. .

Beliau berkata, ahli-ahli PRM masih sayangkan parti itu kerana ia merupakan parti berbilang kaum yang berjuang untuk menegakkan sebuah negara Malaysia yang aman, adil dan makmur.