Puluhan bantah kehadiran bekas presiden Sri Lanka di KL
Puluhan rakyat mewakili pelbagai parti politik, termasuk pemimpin dari MIC, PKR, DAP dan PAS serta NGO India mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah kehadiran bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dalam satu sidang antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.
Bantahan dua jam itu berakhir dengan peserta membakar patung Rajapaksa, selepas pihak penganjur persidangan itu memaklumkan mereka bahawa bekas presiden Sri Lanka itu telah meninggalkan tempat tersebut.
Antara mereka yang hadir adalah Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh: Ahli Parlimen PKR Kapar, G Manivansan, ADUN DAP Sungkai, A Sivanesan dan ketua dewan penyokong PAS A Balasubramaniam.
Sebelum itu, pihak berkuasa mengerahkan pasukan polis termasuk unit anti rusuhan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghalang penunjuk perasaan daripada menghampiri tempat sidang itu.
Penunjuk perasaan mahu kerajaan segera mengusir Rajapaksa, yang didakwa mereka membunuh ratusan ribu penduduk berketurunan Tamil semasa perang saudara Sri Lanka yang berakhir pada tahun 2009.

