Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSATU bakal diluluskan minggu depan
Diterbitkan:  Sep 2, 2016 3:41 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Harapan untuk melihat 'kelahiran' Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mungkin menjadi realiti dalam tempoh seminggu lagi, kata Setiausaha penaja BERSATU, Kamarulazman Habibur Rahman.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden pro-tem parti baru tersebut dalam satu pertemuan.

"Muhyiddin ada menyuarakan harapan bahawa kelulusan diberi dalam tempoh sebulan dari tarikh permohonan dibuat seperti yang telah dijanjikan.

"Dalam pertemuan itu juga, kita telah mengemukakan harapan agar kelulusan akan diberikan selewat-lewatnya 9 haribulan September 2016," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 9 Ogos yang lalu, bekas timbalan perdana menteri itu telah menyerahkan dokumen permohonan pendaftaran BERSATU di pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya bersama-sama empat ahli jawatankuasa penaja parti baru tersebut.

Mereka ialah bekas ahli Wanita Umno Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin, pemimpin kumpulan belia Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Cawangan Bendang Baru, Akhramsyah Sanusi selain Kamarulazman sendiri.

Dokumen tersebut diterima oleh Penolong Pengarah RoS, Rosliza Mahidi.

Susulan permohonan tersebut, Setiausaha BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak bersetuju dengan nama parti baru itu dan mahu pihak berkuasa perlu menyemak semula nama BERSATU yang sepatutnya tidak boleh digunapakai.

Ini kerana, kata Tengku Adnan, BERSATU adalah perkataan sinonim yang sering digunakan sekaligus boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat.

Walaupun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai bantahan itu, namun adalah dipercayai nama BERSATU dikaitkan dengan lagu rasmi Umno iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Mengulas lanjut, Kamarulazman berkata, ROS telah menjelaskan pihaknya tiada sebarang halangan tentang tarikh itu memandangkan permohonan dikemukakan dengan kemas, lengkap dan tersusun.

"Muhyiddin beritahu ROS menjelaskan tiada sebab mengapa kelulusan terhadap permohonan penubuhan BERSATU perlu dilengahkan.

"Ini kerana kita telah menepati segala kehendak dan syarat yang telah ditetapkan dalam permohonan bagi penubuhan sesebuah parti politik baru.

"Wakil ROS sangat berpuas hati dan kagum dengan usaha dan tindakan dalam melaksanakan perubahan yang perlu terhadap segala teguran dan cadangan yang telah dibuat oleh pihaknya," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS