Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Malaysia (MCCBCHST) menyambut baik kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz berhubung pindaan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 untuk menghapuskan penukaran agama unilateral.

"Pendirian MCCBCHST adalah konsisten, untuk memastikan keadilan dan kepatuhan Perlembagaan, tidak ada sebarang penukaran unilateral dilakukan pada individu di bawah umur.

"Kedua-dua pihak yang terlibat dalam sesuatu perkahwinan mesti mencapai persetujuan sebelum anak mereka ditukar ke agama lain," kata naib presidennya Jagir Singh dalam satu kenyataan.

Semalam Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu memberitahu sebuah portal berita bahawa pindaan akta berkenaan akan menghapuskan ketegangan berhubung isu penukaran agama unilateral.

Selain itu, Jagir juga berkata, ia adalah kali pertama - sejak 2009 - seorang menteri menyatakan bahawa keputusan kabinet sebelum ini akan dipatuhi.

Sehubungan itu, menurut Jagir, ia juga selaras dengan keputusan kabinet pada April 2009 bahawa kedua-dua ibu bapa perlu memberi keizinan sebelum anak hasil perkahwinan sivil ditukar agama mereka kepada kepercayaan lain.

Beliau turut mengaitkan peguam MCCNCHST sebelum ini yang menghadapi kebuntuan ketika bertemu dengan pihak Jabatan Peguam Negara pada 2010, 2012 dan 2014 apabila cadangan pindaan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian 1976) masih membenarkan penukaran unilateral.

"MCCBCHST tidak bersetuju dengan penukaran unilateral seperti yang dibenarkan," katanya lagi.


[Baca berita asal]