Jawatankuasa Bertindak Penduduk Setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi esok dalam usaha menyelamatkan rumah mereka daripada dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melaksanakan projek tebatan banjir di situ.

Pengerusinya, Mohamad Yaaacob berkata, kesemua 28 keluarga yang terlibat akan hadir untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri di Putrajaya jam 10.30 pagi esok.

Isnin lalu, enam pegawai DBKL telah datang ke kampung tersebut memberitahu penduduk di situ bahawa bekalan elektrik ke rumah mereka akan diputuskan minggu depan.

Berikutan itu, penduduk kampung tersebut kini dalam keadaan berjaga-jaga kerana khuatir Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan DBKL merobohkan rumah mereka dalam sehari dua ini.

Dalam siaran media yang dihantar kepada malaysiakini hari ini, beliau berkata, rumah 28 keluarga setinggan di Kampung Sungai Udang telah dibina sejak 1967 tetapi DBKL dijadual akan merobohkannya selepas Khamis ini.

"Pihak DBKL ingin mengusir penduduk ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang dengan bayaran pampasan RM1,000 dan dikenakan sewa bulanan sedangkan kami mahu membeli rumah kos rendah di kawasan berhampiran," katanya.

Bagaimanapun, penduduk mengambil keputusan untuk terus tinggal di kampung tersebut meskipun terpaksa berdepan dengan tindakan perobohan oleh DBKL.

Pohon perintah mahkamah

Mohamad berkata, mereka tidak akan berpindah melainkan mendapat rumah pangsa kos rendah Taman Cuepacs yang terletak bersebelahan kampung mereka.

"Hasrat tersebut telah kami nyatakan dalam pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad dan juga pegawai atasan DBKL sebelum ini,"katanya.

Bagaimanapun, Isa menolak permohonan tersebut sebalik berkata, penduduk setinggan Kampung Sungai Udang perlu segera berpindah, sama ada menerima tawaran menyewa rumah PPR di Jinjang atau mencari rumah lain.

Menurut Isa, kerajaan tidak akan menangguhkan projek pembinaan tebatan banjir di kampung tersebut untuk mengelak daripada membayar kadar faedah yang tinggi kepada Bank Pembangunan Asia (ADB) yang membiayai projek itu.

Menurut notis yang dikeluarkan oleh Direktorat Penguatkuasaan DBKL, yang dihantar kepada penduduk di situ pada 21 Februari lalu, memberi mereka tempoh 14 hari untuk berpindah dan mengosong serta merobohkan bangunan dan apa-apa sambungan atau binaan di atas tanah yang diduduki sekarang.

Menurut notis itu lagi, DBKL akan menempatkan pemilik ke rumah pangsa/rumah panjang melalui surat tawaran yang akan dihantar kemudian. Jabatan itu juga akan menyediakan pengakutan secara percuma bagi tujuan pemindahan tersebut.

Jika pemilik gagal mengosongkan tapak tersebut dalam masa yang ditetapkan, jabatan tersebut akan merobohkan bangunan tersebut dan menuntut semua kos kerja perobohan dan pemindahan tersebut, kata notis tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Gulam Sharif pula berkata, permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah akan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur secepat mungkin bagi menghalang DBKL merobohkan rumah mereka.