Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'DAP cuma 8 tahun tapi dah rasuah di P Pinang'

Dalam tempoh 40 tahun di Pulau Pinang, Gerakan membawa pembangunan ke negeri ini tanpa insiden penyalahgunaan kuasa atau rasuah, kata presiden parti itu Datuk Mah Siew Keong.

Mah merayu rakyat Pulau Pinang untuk memberi Gerakan peluang melaksanakan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.

Beliau memberitahu anggota Gerakan dan pemimpinnya supaya berbangga, berani dan meneruskan perjuangan di Pulau Pinang, sambil mengucapkan tahniah kepada mereka kerana bekerja keras walaupun tidak memiliki kerusi di negeri itu.

Mah berkata DAP menerajui Pulau Pinang hanya selama lapan tahun, tetapi sudah ada insiden rasuah seperti melibatkan kes bapa ADUN Sungai Pinang Lim Siew Khim yang didakwa menerima rasuah sebagai pertukaran rumah kos rendah.

Mah berkata, kejadian melibatkan bapa Siew Khim Lim Keat Seong, 68, menunjukkan rakyat Pulau Pinang terdesak untuk memiliki rumah sendiri.

Kerajaan Pulau Pinang dan Siew Khim menafikan penglibatan dalam kes itu, tetapi Siew mengakui bapanya kadang kala menimbulkan masalah terhadap keluarganya.

Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi perumahan Jagdeep Singh Deo menggesa mangsa yang telah membayar wang bagi unit rumah tersebut agar segera membuat laporan polis.

Siew Khim menyalahkan Gerakan kerana menimbulkan isu untuk mengalihkan perhatian daripada pertelingkahan dalaman parti itu bagi kerusi DUN Sungai Pinang.

"Tidak semua adalah satu konspirasi, dalam kes ini, Naib Pengerusi Gerakan negeri Oh Tong Keong beritahu yang benar," kata Mah semasa berucap pada mesyuarat perwakilan negeri yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Macalister, hari ini.

"Siew Khim berkata, dia adalah mangsa (pertelingkahan dalaman Gerakan) tetapi mangsa sebenarnya adalah rakyat Pulau Pinang," kata Mah.

Oh bertelagah dengan pemimpin parti itu, bekas timbalan setiausaha agung kebangsaan Dr Thor Teong Gee yang meletak jawatan daripada semua jawatan parti selepas dikritik kerana tidak layak menjadi calon Sungai Pinang.

Mah berkata DAP menjanjikan "bulan dan bintang" apabila mereka mengambil alih Pulau Pinang tetapi akhirnya menyalahkan pentadbiran sebelumnya apabila berlaku kesilapan.

Beliau mempersoalkan ke mana semua wira anti-rasuah dalam DAP apabila isu bapa Siew Khim didedahkan dalam satu klip video baru-baru ini.

"Mereka (DAP dan penyokongnya) mengatakan bahawa ini adalah satu kesalahan kecil; jadi adakah DAP sebuah parti salah yang kecil? Itulah sebabnya Gerakan perlu menjadi check and balance untuk kebaikan Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang," kata Mah.

Sementara itu, Mah turut membidas DAP kerana didakwa sombong sehingga hampir mengadakan pilihan raya negeri "kerana seorang individu".

Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini mahukan pilihan raya negeri diadakan untuk mendapatkan mandat baru DAP dan Pakatan Harapan selepas didakwa dengan dua tuduhan rasuah berkaitan
pembelian banglo RM2.8 juta di Jalan Pinhorn.

Lim yang juga setiausaha agung DAP mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan kesnya disebut pada 22 September ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

 

Lihat Komen
ADS