Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu bersama 7 anak gelandangan ditempatkan sementara

Wanita bersama tujuh anak dan dua cucunya yang diviralkan baru-baru ini kerana tinggal di kaki lima di Chow Kit Kuala Lumpur kini ditempatkan di sebuah pusat pembelajaran swasta berlandaskan Islam di Subang Jaya.

Roziah Yusuf, 42, yang juga warga Thailand dan keluarganya ditempatkan di sana sementara siasatan kes mereka selesai, selepas sehari dimasukkan ke Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Wanita itu mendakwa mereka sekeluarga terpaksa menjadi gelandangan dan meminta sedekah bagi meneruskan hidup kerana tidak mampu membayar sewa rumah di Cheras Baru yang didiaminya bersama suaminya, seorang warga Myanmar.

Menurut ibu kepada tujuh anak berusia antara setahun lima bulan dan 20 tahun serta dua cucu berusia tiga tahun dan sembilan bulan itu, suaminya meninggal dunia dalam kemalangan di Lorong Haji Taib 4, di sini hujung tahun lalu.

"Kami sudah tinggal di negara ini selama 18 tahun...selama ini arwah suami saya yang menyara kami dengan bekerja di sebuah bengkel mencuci kereta di Chow Kit tetapi kini kami hilang arah...dan beginilah kami hidup sekarang," katanya kepada Bernama.

Roziah yang kerap kali menitiskan air mata ketika ditemu bual berkata sebelum ini dia tidak membawa keluarganya ke Pusat Transit Gelandangan kerana mereka bukan warga Malaysia.

"Saya bersyukur kami kini diberikan tempat tinggal dan ramai yang tampil
memberi bantuan," katanya ketika ditemui di kaki lima Jalan Chow Kit sebelum dibawa orang ramai ke Pusat Transit Gelandangan.

Pada Rabu lepas, seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Shahrul Nizam memuat naik gambar keluarga itu dan ketika ditanya, wanita tersebut mendakwa mereka tinggal di Cheras sebelum ini tetapi tidak mampu membayar sewa rumah apabila suaminya meninggal dunia.

Sementara itu, seorang kakitangan pusat itu yang enggan namanya disiarkan berkata Kementerian Wilayah Persekutuan memberikan tempat perlindungan kepada Roziah dan keluarganya untuk sehari sahaja atas dasar kemanusiaan.

"Sebenarnya mereka tidak boleh tinggal di pusat gelandangan ini kerana bukan warganegara.

"Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada anak dan cucunya warganegara kerana difahamkan mereka dilahirkan di negara ini," katanya yang menjelaskan kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pula menjelaskan Roziah bersama keluarganya pernah dibantu dua kali oleh Baitulmal dengan bantuan terbaru pada 13 Julai lalu.

Menurut laman Facebook Baitulmal MAIWP, ini merupakan kali ketiga kisah keluarga itu diviralkan, dan Baitulmal telahpun membantu wanita berkenaan sejak 2015, malah telah mengesyorkan kes tersebut dirujuk kepada Kedutaan Thailand dan Jabatan Imigresen.

Berdasarkan maklum balas yang diperoleh Baitulmal daripada wanita itu pada 18 Jun 2015, Roziah mendakwa suaminya dipenjarakan di Terengganu, dan dia sekeluarga menyewa di Taman Muda, Cheras dengan bayaran RM250 sebulan.

Pada 13 Julai lepas pula, wanita itu mendakwa suaminya telah meninggal dunia akibat kemalangan.

Menurut Baitulmal keluarga itu meminta sedekah di sekitar Plaza Imbi dan Sungei Wang Plaza, Bukit Bintang antara 10 pagi hingga 6 petang, dan kadang-kala sehingga ke malam, dengan mendapat antara RM150 dan RM250 sehari.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS