Penyelaras demo terhadap kehadiran bekas presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa di Kuala Lumpur menafikan mereka adalah di sebalik beberapa siri kes-kes serangan terhadap beberapa pihak sejak dua hari lalu.

Wakil sebuah pertubuhan Tamil, Satees Muniandy berkata pihaknya mengutuk serangan terkini ke atas Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Ibrahim Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

"Kami tidak menganjurkan sebarang bantahan semalam di mana-mana di KL dan kejadian itu sama sekali tidak berkaitan dengan mana-mana pertubuhan yang mengambil bahagian dalam protes aman minggu lalu," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan serangan berkenaan.

Kes kedua, kata Sateesa, berlaku pada Jumaat lalu di sebuah kuil Buddha di Sentul, Kuala Lumpur di mana ketua sami kuil berkenaan diserang oleh beberapa individu yang sebelum ini mengadakan bantahan di luar Pusat Dagangan Dunia Putra.

"Sami Buddha itu dikatakan dibelasah selepas sebahagaian besar penunjuk perasaan bersurai secara aman.

"Kami segera mengutuk kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Semasa di PWTC, Satees mendakwa peserta yang tidak dikenali tetapi dipercaya "ejen provokatur" membaling botol plastik air ke arah pasukan polis simpanan persekutuan yang bertugas sehingga mencetuskan kekecohan.

[Baca berita penuh]