Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta 355: PAS sedia terangkan MP bukan Islam
Diterbitkan:  Sep 6, 2016 2:07 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

PAS sedia menyediakan platform bagi memberi penerangan khusus kepada ahli parlimen bukan Islam mengenai Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata ini kerana masih ramai dalam kalangan mereka tidak mendapat penjelasan sebenar mengenai pindaan Akta 355 itu.

Terbaru katanya, PAS menghantar setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan ke wacana Sinar Harian bagi membincangkan topik berkenaan yang turut dihadiri pemimpin DAP dan MCA.

"Antara yang menjadi kebimbangan masyarakat bukan Islam adalah mengenai kesan pindaan tersebut kepada mereka.

"Ada dakwaan yang mengatakan pindaan tersebut akan mengubah struktur politik di Sabah dan Sarawak menjadi sebuah negeri teokratik. Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa pindaan Akta 355 akan melemahkan struktur asas perlembagaan dan kebebasan beragama di negara ini," katanya dalam kenyataan media hari ni.

Justeru, PAS yakin penerangan khusus dan berterusan dapat memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai pindaan yang dicadangkan.

"Diharapkan agar platform berkenaan dapat menyuntik sedikit sebanyak kefahaman mereka mengenai Islam dan dapat membuat pilihan yang tepat kelak," katanya.

Sebelum ini, cadangan PAS membawa RUU berkenaan menerima tentangan terutama daripada MCA dan DAP yang khuatir ia akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di negara ini.

Lihat Komen
ADS