Walaupun Universiti Malaya (UM) mencapai ranking ke-133 universiti dunia tahun ini, namun ia masih bimbang mengenai beberapa petunjuk dengan keputusan itu.

Naib Cancelor UM, Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin berkata universiti itu hilang momentum yang dibinanya dalam usaha pengantarabangsaan dan pengambilan pelajar, yang punca utamanya bersebab daripada pengurangan dana yang dihadapinya sejak dua tahun lalu susulan masalah ekonomi umum.

"Sebagai kesan langsung, sejumlah poin hilang bukan hanya dalam petunjuk staf antarabangsa QS (Quacquarelli Symonds) World University Rankings, tetapi juga berhubung nisbah pelajar fakulti.

"Kekurangan itu telah melambatkan universiti daripada bergerak untuk menyamai pesaingnya yang ini perlu ditangani secara sistematik bagi UM terus memperoleh pengiktirafan antarabangsa dan mencapai lonjakan lebih besar dalam kedudukan antara universiti terkemuka dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Amin berkata penelitian ke atas pencapaian ranking itu turut mendapati pesaingnya begitu giat melaksanakan bidang penyelidikan mereka.

UM naik 13 anak tangga kepada kedudukan 133 daripada kedudukan 146 dalam QS World University Rankings 2016/2017.

- Bernama