Tuntutan Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mendakwa diplomat Malaysia bersama isterinya kerana melayan pembantu rumah dari Sri Lanka seperti 'hamba', menurut laporan akhbar New York Post.

Laporan itu yang memetik tuntutan mahkamah berkata, Parimaladevi "Mala" Jeganathan diarahkan bekerja lebih 15 jam sehari untuk mendapat tidak lebih daripada AS$1.71 sejam.

Diplomat itu, Danish Kumar dan isterinya, Tamil Arasi Krishnan turut didakwa melarang Parimaladevi daripada meninggalkan kediaman dan mengugut untuk melakukan 'sesuatu' jika berdegil.

Tuntutan saman itu berkata, Parimaladevi yang mula bekerja dengan pasangan terbabit pada tahun 2013 berasa 'takut untuk keluar seorang diri' dan mendakwa beliau diperhatikan oleh pengawal keselamatan konsulat Malaysia dan penjaga pintu bangunan.

"Cukup jelas beliau orang gaji mereka. Beliau tidak dibenarkan untuk keluar rumah kecuali mengiringi keluarga tersebut ke gereja sekali-sekala," kata peguam Parimaladevi, Anne Li.

Pada tahun 2014, pasangan itu juga kononnya memberitahu Parimaladevi bahawa visanya adalah 'terlalu mahal' untuk diperbaharui dan berkata, jika beliau tidak bersetuju untuk bekerja selama tiga setengah tahun lagi, beliau akan dihantar pulang ke Sri Lanka.

Tuntutan saman itu turut mendakwa Tamil memberitahu pembantu rumah berkenaan bahawa dia bukan sesiapa dan tidak mampu untuk mendapatkan bantuan jika sesuatu yang buruk menimpanya di Amerika Syarikat, kata laporan itu.

Parimaladevi kemudiannya diambil dari pangsapuri tersebut pada 6 Mac 2014 selepas mendapatkan bantuan daripada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan diletakkan di dalam rumah amal yang selamat dan dibiayai.

Malaysiakini telah menghubungi Wisma Putra bagi mendapatkan maklum balas.

[Baca berita penuh]