Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham: Penyatuan Dr M-Anwar ke arah barisan bersatu
Diterbitkan:  Sep 6, 2016 4:38 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Pertemuan semula bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seterunya Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membuka jalan ke arah pembentukan 'barisan bersatu'.

Aktivis Hishamuddin Rais berkata 'penyatuan' itu dianggap bersejarah bagi meninggalkan beban masa lalu dan bergerak ke hadapan dengan matlamat yang sama.

"Ia mengembalikan kita kepada asas perjuangan dalam satu barisan bersatu," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Mahathir muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri prosiding permohonan Anwar bagi mencabar akta kontroversi Akta Keselamatan Negara 2016.

Mereka berdua menyambut antara sama lain dan berjabat tangan di mahkamah. Mahathir kemudian dilihat menepuk bahu Anwar.

Langkah itu dilihat mereka yang hadir di mahkamah sebagai sokongan moral Mahathir kepada Anwar dengan objektif sama menentang Akta MKN.

Mengulas mengenai perjumpaan itu, Hishamuddin berkata: "gambar Mahathir dan Anwar adalah simbol menyatukan semua kuasa dan usaha ke arah Malaysia baru.

"Matlamat sama adalah menjatuhkan (perdana menteri) Najib (Razak), untuk menangkap, menahan dan menyaman MO1," katanya.

Hishamuddin disoal siasat oleh polis pagi ini berikutan himpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu bersama-sama Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, Datuk A Samad Said dan Rozan Azen Mat Rasip.

Maria dan Hishamuddin disoal di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, manakala dua lagi disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman.

Lihat Komen
ADS