Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Elak spekulasi, khabar angin yang tak sahih - Mat Sabu
Diterbitkan:  Sep 6, 2016 9:51 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menyeru kepada semua ahli parti itu agar menumpukan kepada usaha-usaha bagi menambah keahlian, pembukaan cawangan baru serta meningkatkan penerangan kepada rakyat.

Seruan tersebut dibuat menjelang sambutan ulang tahun AMANAH pada 24 September nanti.

"Kurangkan perbincangan terhadap perkara-perkara yang bersifat sepekulasi atau khabar angin yang tidak sahih, sehingga mengganggu kerja untuk membina kekuatan parti.

"Tumpukan kepada tugas kita yang paling utama sebelum berbincang tentang sebarang spekulasi pilihan raya umum atau soal pembahagian kerusi," jelasnya dalam kenyataan.

AMANAH ditubuhkan bekas pemimpin progresif PAS yang kalah dalam pemilihan muktamar yang diadakan Jun 2015.

Pengumuman mengenai penubuhan parti itu dibuat di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam dengan disaksikan ribuan orang yang berpakaian jingga pada 16 September tahun lalu.

Logo AMANAH iaitu tiga jalur jingga dan tulisan hitam perkataan “Amanah” dengang latar belakang putih turut diperkenalkan pada hari yang sama selain barisan kepimpinan tertinggi.

Turut hadir pada majlis itu ialah kepimpinan tertinggi DAP dan PKR seperti Lim Kit Siang serta Rafizi Ramli selain Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohamad yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu berkata, semua ahli AMANAH di seluruh peringkat perlu memaksimumkan penggunaan ahli-ahli jawatankuasa nasional dan sayapnya untuk memberi penerangan kepada seluruh rakyat.

"Kemasukan Datuk Husam Musa dan rakan-rakan yang lain juga perlu digunakan sebaiknya untuk meningkatkan lagi gelombang penyertaan masyarakat ke dalam AMANAH.

"Gunakan baki masa yang ada ini untuk kuatkan parti dengan menarik ahli seramai mungkin menyertai AMANAH menjelang PRU14 akan datang," jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS